Bekas menteri sokong saranan henti sokong Muhyiddin


SEORANG
Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyokong penuh saranan Mohd Puad Zarkashi agar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik semula sokongan mereka terhadap Muhyiddin Yassin.

Shamsul yang juga mantan Timbalan Menteri Industri Utama berkata, saranan Mohd Puad menandakan satu penjajaran politik baharu untuk kekal sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu..

Kerjasama antara Umno dan Bersatu yang diterajui Muhyiddin dianggap tidak mapan dan sudah tiba masanya ahli Parlimen khususnya dalam kalangan Umno bertindak.

“Kepentingan Umno pasti akan bertembung dengan kepentingan Bersatu dan Pas menyebabkan kerjasama politik mereka tidak mapan.

“Umno perlu mencari rakan politik baharu yang boleh memastikan kepentingan politik mereka dan juga agenda negara dapat diperjuangkan dengan wujudnya kestabilan politik yang mencerminkan jamak ras, budaya dan agama,” katanya dipetik laporan sebuah portal berbahasa Melayu.

 Pertembungan dalam kerjasama Umno- Bersatu
Sebagai rekod, Mohd Puad yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno sebelum ini menyarankan ahli-ahli Parlimen BN melakukan tindakan berani menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Ia setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal membuat tindakan sepatutnya dalam beberapa isu diutarakan pada Belanjawan lalu, ia antaranya berkenaan isu pengeluaran wang pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium bank.

Tindakan itu jelasnya walaupun seolah-olah 'membunuh diri' namun wajar dilakukan demi kepentingan rakyat.

“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Nampak macam kamikaze tetapi apa salahnya, demi rakyat.

“Mungkin tidak semua (Ahli Parlimen BN) sanggup. Lima orang tarik sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun OK. Gunakan hati nurani,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Post a Comment

0 Comments