PELUMBA pasukan Suzuki Ecstar, Joan Mir melengkapkan kariernya musim ini dengan memenangi perlumbaan sulungnya dalam kelas MotoGP di Grand Prix (GP) Eropah malam tadi.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu yang memulakan perlumbaan di petak kelima tidak berdepan sebarang masalah. Mir mengambil kesempatan ketika pencabar gelaran, Fabio Quartararo terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama di Litar Ricardo Tormo dan mengemudi perlumbaan hingga ke garis penamat.
Lebih manis, Suzuki sekali lagi melakar kejutan apabila meraih kemenangan 1-2 apabila rakan sepasukan Mir, Alex Rins menamatkan saingan di tempat kedua.
Pelumba pasukan KTM, Pol Espargaro pula melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan dan pasukan bekerja keras sepanjang minggu ini akhirnya kami berjaya menaiki podium di sini,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Mir kini semakin hampir untuk menjulang mahkota kemenangan gelaran dunia pertamanya di MotoGP apabila pencabar utamanya dari Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo gagal memberi saingan.
Quartararo yang bergelut di litar hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14, dengan berbaki dua pusingan, harapannya merebut kejuaraan dilihat semakin sukar.
Mir mendahului kedudukan keseluruhan dengan 163 mata, iaitu berkelebihan 37 mata berbanding 125 diperoleh Quartararo.Joan Mir melebarkan jurang kejuaraan
Sementara itu, Prinsipal Suzuki, Davide Brivio mengakui ia merupakan kemenangan yang dinantikan pasukannya melihat selepas melihat kedua-dua pelumbanya melakukan kejutan di Valencia.
“Sungguh mendebarkan dan semua kru menantikan kemenangan ini. Tahniah kepada semua yang terlibat terutama kepada kedua-dua pelumba yang bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang sempurna seperti hari ini,” kata Brivio.
Difahamkan, kali terakhir pasukan Suzuki meraih podium satu dua bagi pasukan itu ialah pada tahun 1982 di GP Jerman.
0 Comments