Ketua Menteri Pulau Pinang selar usaha hidupkan semula JASA


KEPUTUSAN
kerajaan memberikan peruntukan berjumlah RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Belanjawan 2021 dikritik.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia dilihat sebagai satu usaha menghidupkan kembali ‘unit propaganda politik kerajaan’  dan dibimbangi akan bertindak bertentangan dengan semangat perpaduan terutama ketika usaha membebaskan negara daripada ancaman wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Sebelum ini, jabatan ini nampak sebagai suatu unit ‘propaganda politik’. Sekiranya itu tujuan JASA ditubuhkan, ia dilihat telah membelakangkan usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Oleh itu, kita minta peranan JASA dinilai semula untuk memupuk perpaduan dan bukan mewujudkan perbezaan dan perpecahan,” katanya seperti dipetik laporan Sinar.

Chow sebelumnya menyampaikan pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih sempena sambutan Deepavali di Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia di Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut berharap Belanjawan 2021 akan membawa manfaat kepada penduduk Pulau Pinang pada tahun hadapan.

“Perkara paling penting Pulau Pinang mahu lebih besar peruntukan dengan mengambil keadaan keseluruhan (ekonomi pasca pandemik Covid-19) ketika ini terutama berkaitan kebajikan rakyat untuk meneruskan hidup.

Peruntukan untuk JASA dipertikai
“Tentunya Belanjawan 2021 ini boleh merangsang pertumbuhan ekonomi, kita mengalu-alukannya, namun keutamaan sekarang adalah untuk memastikan kejayaan terus ada dan diwujudkan, kebajikan untuk rakyat diteruskan serta pertumbuhan ekonomi boleh dirangsang dengan lebih cepat," katanya.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator TengkuZafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan sejumlah RM81.5 juta diperuntukkan bagi program peluasan JASA.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu sekali gus mengundang persoalan pelbagai pihak.

Post a Comment

0 Comments