KERAJAAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk melalui Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah pada akhir bulan lalu dilihat boleh terancam sekiranya ketegangan dalaman antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak reda.
Berdasarkan perkembangan politik semasa, beberapa penganalisis politik bersetuju ia boleh tumbang sekiranya Umno menarik sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN).
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Bridget Welsh dari Universiti Nottingham (Malaysia) yang dipetik laporan FMT berkata, ketegangan dan perselisihan dalam kerajaan negeri sangat ketara antara Umno dan Bersatu yang akhirnya boleh menyebabkan perpecahan dalam GRS.
Sebagai rekod, isu tidak puas hati antara kedua parti itu bermula sebelum PRN dijalankan dimana isu pembahagian kerusi tidak diselesaikan dengan baik.
Ia berterusan apabila Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin terlebih dahulu mengumumkan pemimpin Bersatu di negeri itu, Hajiji Noor akan diangkat sebagai Ketua Menteri yang dibidas presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Satu lagi drama dilapor berlaku apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Bung Mokhtar Radin diberi portfolio yang tidak dipersetujui sebelum ia akhirnya dirombakan semula.
Kesemua insiden yang berlaku di Sabah dilihat sebagai antara faktor Umno tidak senang untuk meneruskan kerjasama dengan PN. Kemuncaknya pada Selasa lalu, Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dilapor sedang mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong PN.
“Apa sahaja yang berlaku di Putrajaya akan mempengaruhi keadaan mana-mana kerajaan negeri di bawah sayap PN.
“Sekiranya Umno menarik diri daripada PN, maka kerajaan Sabah akan tumbang. Ini boleh membuka jalan kepada Umno untuk bekerjasama dengan Warisan bagi menubuhkan kerajaan baru seterusnya," kata Bridget Welsh.
Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, kestabilan kerajaan negeri akan tergugat sekiranya Umno Sabah memutuskan untuk mengikut telunjuk ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.Pentadbiran Hajiji kini dalam risiko
Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak pula berkata, pengaturan kuasa dan dinamika politik di Sabah pasti akan berubah sekiranya Umno tidak lagi bekerjasama dengan PN.
“Sabah tidak lagi terhindar daripada politik di Semenanjung Malaysia,” katanya.
0 Comments