
EMPAT individu telah dipanggil polis bagi dirakam percakapan mereka berhubung isu paparan Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu.
Kesemua mereka dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan dalam isu tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini pihaknya juga telah menerima sembilan laporan polis berkenaan isu terbabit.
"Kita juga telah kenal pasti syarikat tempatan yang dipercayai diberi tender untuk melaksanakan ‘digital message’ di skrin pada acara tersebut.
"Kita menjangkakan akan memanggil syarikat tersebut untuk dirakam percakapan esok. Kita mahu tanya kenapa benda ini tersiar sedemikian,” katanya pada sidang.
Tambah huzir, pihaknya akan menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dan beliau yakin isu tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan kemudinya dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Isu bendera berbucu lima bagi mengiringi nyanyian lagu kebangsaan ketika perasmian kejohanan Bola Keranjang di stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menarik perhatian ramai.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menyatakan rasa murkanya.
Melalui hantaran di Twitter rasminya, Tuanku menegaskan bahawa simbol kedaulatan negara itu tidak boleh dipermainkan.
"Tiada siapa yang berhak untuk mengubah bendera tanpa persetujuan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen," ciap Baginda.
0 Comments