Air pasang besar: S'gor jamin pusat pemindahan patuh SOP


KERAJAAN
negeri Selangor yang dipimpin KEADILAN memberi jaminan bahawa semua pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan susulan fenomena air laut pasang besar akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir yang dipetik laporan Bernama berkata, antara aspek yang akan dipatuhi di pusat itu ialah dari segi penjarakan fizikal, kebersihan serta susun atur khemah.

Menurutnya, langkah itu dapat mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Contohnya, jika sebelum ini, kira-kira 20 keluarga boleh ditempatkan di dalam satu dewan, mungkin jumlah tersebut kita kurangkan untuk mewujudkan penjarakan fizikal dan penjarakan susun atur khemah.

"Sebagai persediaan, jika ada lokasi yang jumlah mangsa banjirnya besar, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuka pusat pemindahan lain berdekatan dengan dewan bagi mematuhi SOP penjarakan fizikal," katanya dipetik.

Selangor dijangka bakal berdepan fenomena air laut pasang besar pada Sabtu hingga Isnin depan dengan ketinggian air laut boleh mencecah sehingga 5.8 meter dan berisiko untuk menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir akibat limpahan air laut.

Fenomena itu sekali lagi diramal akan berlaku pada pada 15 dan 16 November depan.

Sementara itu Muhammad Izzat berkata, UPBN Selangor telah mengenal pasti 21 pusat pemindahan di lima daerah di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sekiranya berlaku banjir.

Pusat pemindahan akan patuh SOP
Anggota UPBN Selangor juga sentiasa meninjau secara berkala di beberapa lokasi yang diramal dilanda fenomena air pasang besar selain melakukan pemantauan menggunakan dron.

Dalam pada itu, beliau berkata ban dan benteng pantai yang terhakis ekoran fenomena air laut pasang besar pada 19 dan 20 Sept lepas, juga selesai dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan beberapa benteng tambahan turut dibina khususnya di sekitar kawasan pantai di Kuala Selangor.

Orang ramai juga diminta supaya menjauhi kawasan pantai bermula Khamis bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Post a Comment

0 Comments