SEORANG pakar pemakanan bimbang lanjutan perintah sekatan pergerakan di Lembah Klang akan memberi kesan langsung kepada kanak-kanak bawah umur 5 tahun dari isi rumah berpendapatan rendah.
Dr Hazreen Abdul Majid dari Universiti Malaya berkata, golongan itu yang tinggal di kawasan bandar akan berdepan masalah kekurangan zat makanan apabila terlepas menu penting dan seimbang yang biasanya disediakan di tadika, yang kini ditutup.
“Biasanya, banyak kanak-kanak akan bersarapan di sekolah dan itu memberi mereka tenaga dan nutrisi.
“Sekiranya mereka berada di rumah, sebilangan ibu bapa mungkin tak dapat membeli makanan kalau mereka tak dapat bekerja atau kerana faktor kewangan lain.” katanya dipetik laporan FMT.
Tambah Dr Hazreen, antara 15% dan 20% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Malaysia mengalami masalah kekurangan zat makanan dengan kos hidup yang tinggi di kawasan bandar-bandar bakal menyebabkan keluarga mengalami krisis kewangan lebih besar.
“Kita mungkin fikir di negara kita, peratusannya menurun. Tetapi dalam 5 tahun kebelakangan ini, trend itu sebenarnya meningkat,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum sebelum ini memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 akan menyaksikan hampir 7 juta lagi kanak-kanak mengalami kebantutan akibat kekurangan zat makanan selain 47 juta yang sebelum ini sudah sedia berdepan isu berkaitan kemiskinan.
Dr Hazreen turut melahirkan rasa bimbang dengan gaya hidup keluarga di bandar. Menurutnya sebilangan ibu bapa yang berdepan isu kewangan sering meletakkan menu makanan berkhasiat sebagai perkara terakhir yang mereka fikirkan.
"Apabila semua benda sangat mahal dan anda perlu bekerja lebih masa, selagi anda letakkan makanan di atas meja, tanpa mengira nutrisinya, ia sudah memadai," jelasnya.
Susulan itu, beliau mengesyorkan agar kerajaan bekerjasama dengan pakar pemakanan dan NGO bagi merangka pelan tindakan untuk mengagihkan semula makanan segar yang tidak dimakan di restoran, kilang dan kedai runcit mewah kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Kerajaan digesa rangka pelan tindakan |
“Sekiranya anda uruskan perkara ini dengan betul, maka kita dapat kurangkan pembaziran makanan. Pada masa sama, kita perlu menyelesaikan isu kekurangan zat makanan dalam kalangan anak-anak B40.” tambahnya.
0 Comments