Hala tuju pentadbiran PN tangani Covid-19 makin dipertikai


KEMAMPUAN sebenar pentadbiran Muhyiddin menangani pendemik Covid-19 semakin dipertikai banyak pihak, terutama setelah berlaku peningkatan semula kes terbaharu yang dikaitkan dengan kelonggaran polisi berkaitan kuarantin wajib baru-baru ini.

Terbaharu, seorang peguam Syahredzan Johan tampil mempersoal kelewatan kerajaan dalam mewartakan RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Jelasnya, meskipun terdapat kelemahan, pewartaan RUU itu tegasnya sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban hidup rakyat.

"Negara-negara lain sudahpun menggubal undang-undang seperti ini pada awal tahun 2020 apabila pandemik koronavirus ini mula melanda. Kerajaan persekutuan juga telah dikritik kerana membentangkan RUU tersebut terlalu lewat.

"Malangnya, sehingga kini RUU tersebut masih belum diwartakan dan belum berkuatkuasa," kata Syahredzan.

Tambah setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang itu lagi, walaupun RUU tersebut sekiranya berkuatkuasa, akan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kesan pendemik itu terhadap rakyat, namun kerajaan persekutuan bagaikan tidak mengambil serius perkara tersebut.

"Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga telah dikenakan ke atas negeri Sabah dan Selangor, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. PKPB ini sudah tentu memberi impak besar kepada orang ramai.

RUU belum diwartakan
"Negara juga kini sedang dalam gelombang ketiga wabak Covid-19, RUU tersebut masih belum menjadi undang-undang sehingga kini," tegasnya.

RUU Covid-19 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Ogos dan kemudian diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Sept.

Bagaimanapun portal Malaysiakini dalam laporannya yang dipetik menyatakan, semakan hari ini mengesahkan bahawa ia belum diwartakan iaitu proses terakhir sebelum menjadi undang-undang.

Sedangkan negara jiran Singapura sudah meluluskan dan mewartakan Akta Covid-19 (Langkah Sementara) 2020 enam bulan yang lalu.



 

Post a Comment

0 Comments