Cara kerajaan tangani isu syarikat milik Khazanah membimbangkan


CARA
kerajaan perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin menangani beberapa isu membabitkan syarikat besar antaranya UEM Sunrise Berhad dan Malaysia Airlines Berhad, amat membimbangkan.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua syarikat dimiliki Khazanah Nasional dikhuatiri akan terjejas teruk susulan beberapa keputusan tidak munasabah dan meragukan oleh pengurusan syarikat terbabit.

Anak bekas Presiden PAS itu turut mempersoalkan kewajaran kewajaran untuk menggabungkan UEM Group dan Eco World Development Group Berhad  yang dilihat akan menguntungkan Eco World berbanding UEM Sunrise.

“Penggabungan kedua-dua pemaju hartanah ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan menerusi Khazanah Nasional dan UEM Group mahu menyelamatkan Eco World, yang jelas menghadapi beban hutang yang tinggi.

“Apakah rasionalnya tindakan meningkatkan ‘exposure’ dalam sektor hartanah pada ketika industri ini dibelenggu sentimen yang lemah?

“Bukan itu sahaja, entiti baharu yang akan lahir daripada penggabungan ini akan menanggung inventori unit komersial dan kediaman besar pada ketika pasaran hartanah tidak menikmati permintaan yang kukuh seperti enam hingga tujuh tahun lepas,” katanya.

Setakat 31 Julai 2020, Eco World dilapor mempunyai hutang melebihi RM3.4 bilion walaupun pegangan tunai dan setara tunainya adalah hanya RM275.31 juta.

Sementara itu, Faiz turut menyelar sikap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang didakwa lepas tangan dalam isu pemulihan syarikat penerbangan Malaysia Airlines selepas mengumumkan kerajaan tidak akan menyuntik dana bagi membantu syarikat penerbangan tersebut.

Bimbang nasib 12,000 kakitangan MAS
Tegasnya, memandangkan Khazanah Nasional terus melengah-lengahkan keputusan menjual Malaysia Airlines sehingga kini, adalah menjadi tanggunjawab kerajaan memastikan masa depan syarikat dan pekerjanya terjamin.

“Adakah Kerajaan PN tidak prihatin terhadap nasib dan periuk nasi 12,000 pekerja Malaysia Airlines, yang majoritinya adalah rakyat Malaysia?

“Saya menggesa pihak kerajaan dan Menteri Kewangan memandang masalah yang dihadapi Malaysia Airlines dengan lebih serius.

“Ketepikan sebarang kriteria yang perlu dipenuhi, dan bantu Malaysia Airlines menangani masalah kewangannya terutamanya desakan pemiutang,” katanya lagi.

 Sebagai rekod, Khazanah diperbadankan bawah Akta Syarikat, 1965 pada 3 September 1993 sebagai sebuah syarikat berhad awam. Ia dimiliki oleh kerajaan untuk membangunkan kekayaan jangka panjang negara melalui dua objektif berbeza, iaitu objektif komersial dan strategik

Post a Comment

0 Comments