PRESIDEN KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu timbalannya memberi penjelasan berhubung pertemuan dengan sekumpulan ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan KEADILAN di kediaman rasminya di Putrajaya malam tadi.
Susulan itu tegas Anwar, Azmin yang terkenal dengan reputasi tidak hadir ke mesyuarat parti supaya hadir ke Mesyuarat Biro Politik bagi memberi penjelasan.
Tambah Anwar, Azmin tiada pilihan selain 'wajib' hadir ke mesyuarat itu yang dijadual akan diadakan malam esok
“Tentu kita akan minta penjelasan dulu. Isu ini memang menimbulkan banyak persoalan oleh rakan-rakan. Jadi patut beliau beri penjelasan.
“(Beliau perlu hadir esok?) Ya, itu sepatutnya. Timbalan presiden wajib hadir,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Azmin sebelum ini diberi kelonggaran untuk memikirkan tindak tanduknya selepas tidak hadir ke mesyuarat parti itu secara berturut-turut sebanyak tiga kali.
Difahamkan, perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana pemimpin tidak hadir ke mesyuarat tanpa alasan munasabah bagi tempoh tiga kali berturut-turut boleh dilucutkan jawatannya.
Sementara itu, ketika ditanya pertemuan itu dilakukan atas kapasiti kerajaan atau parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata;
“Saya tidak tahu, sebab itu saya minta lebih baik beri penjelasan. Kalau atas kapasiti parti atau kerajaan, mengapa Ahli Parlimen lain tidak diundang?,” soal beliau.
Kekal Misteri
Antara pemimpin yang hadir ke perjumpaan misteri malam tadi ialah beberapa penyokong kem Azmin, antaranya Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar
Juga beberapa Ahli Parlimen dari BN antaranya Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).
Pemimpin lain yang turut hadir ialah Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Shahidan Kassim (BN-Arau);Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau), Hasbullah Osman (BN-Gerik) dan Ramli Mohd Nor (BN- Cameron Highland).
Sehingga kini tujuan perjumpaan dan isu yang diperbincangkan kekal misteri.