PERDANA MENTERI Muhyiddin Yassin perlu segera meletak jawatan sekiranya telah sedar kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim susulan desas-desus Presiden Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu) itu cuba mendapat persetujuan untuk mengisytiharkan darurat yang dianggap sebahagian pihak sebagai usahanya untuk terus berkuasa.
Hassan yang merupakan bekas Pengerusi KEADILAN Johor berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet Muhyiddin yang bercadang melaksanakan darurat dengan alasan kononnya ia perlu menangani penularan koronavirus (Covid-19).
Alasan tersebut tegasnya adalah dangkal dan tidak dapat meyakinkan rakyat.
"Alasan sebenarnya darurat dilaksanakan ialah supaya kerajaan PN pimpinan Muhyiddin dapat mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan menghadapi ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17hb November ini sama ada akan melulus atau menolak Belanjawan 2021 tersebut.
"Sekiranya belanjawan itu ditolak Dewan Rakyat, maka Muhyiddin dan kerajaannya hilang majoriti kepercayaan ahli Parlimen. Natijahnya Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri," katanya Hassan dalam satu kenyataan.
Tak wajar buat tindakan melulu
Semalam, rakyat merasa terkejut dengan laporan darurat mahu dilaksana.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin terawal mengeluarkan kenyataan dengan berkata, langkah diusaha Muhyiddin itu dibimbangi membawa negara ke era kediktatoran.
"Hari ini, kita mempunyai kerajaan yang tidak kukuh dan gagal untuk menunjukkan sokongan majoriti dalam Parlimen dan menggunakan isu krisis pandemik koronavirus (Covid-19) sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa.
"Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.
"Tetapi apabila kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata satu langkah kebelakang yang akan memungkinkan kediktatoran," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
BACA: Muhyiddin didakwa cuba selamatkan kedudukan
Sementara itu tegas Hassan, Muhyiddin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat di Malaysia sebaliknya dalam keadaan genting itu perlu dirujuk Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, jika dirujuk Perkara 150 (1) dan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam, maka suatu Proklamasi Darurat boleh dikeluarkan.
"Darurat besar itu ada tiga iaitu melibatkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. Penularan Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga, pergolakan politik kepartian bukannya sejenis darurat keselamatan.
Alasan Covid untuk darurat dangkal |
"Risiko Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November depan jika tidak diluluskan oleh ahli Parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu proklamasi darurat diisytiharkan," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Muhyiddin dapat mempertahan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati demokrasi dan institusi Parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ke ambang diktator dengan mematikan suara ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14.
0 Comments