Kes Khairuddin: peguam bangkitkan persoalan penting


KEPUTUSAN melepaskan Khairuddin Aman Razali dari tindakan perundangan akan hanya menyebabkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa undang-undang dijalankan secara dua darjat, kata peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdullah.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook sebelum ini, Mohamed Haniff berkata, keputusan Pejabat Peguam Negara (ACG) mengarahkan pihak polis untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi itu yang didakwa melanggar SOP Kuarantin atas alasan tidak diserahkan borang menjalani kuarantin diri telah membangkitkan pelbagai persoalan.

“Secara rumusan, keputusan Peguam Negara menimbulkan lagi pelbagai persoalan lanjut yang membuatkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa kononnya pada masa ini undang-undang dijalankan secara dua darjat,” katanya.
 
Malah borang 14b di bawah seksyen 15(1) Akta 342 yang dijadikan sebab kes berkaitan Khairuddin jelasnya turut membangkitkan persoalan.
 
"Soalan yang pertama ialah adakah borang 14b itu terpakai dalam isu kuarantin kepada menteri ini yang kembali dari Turki ke Malaysia? Sebab borang 14b adalah dengan sendirinya ‘Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi konteks jangkitan 2019’.

"Dalam erti kata lain, di dalam borang ini ialah ianya secara khusus ialah kepada kontek kepada pesakit Covid-19.

"Tapi perintah kuarantin kendiri yang diwujudkan pada masa itu ialah sesiapa yang kembali dari luar negara wajib kuarantinkan diri sama ada dia kontek atau tidak," tegasnya.

Haniff turut membangkitkan persoalan lain iaitu  adakah dibawah seksyen itu menetapkan mana-mana pegawai mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan atau tidak borang tersebut.

“Dari pembacaan seksyen 15b dalam pandangan ringkas, tidak pun wujud hak atau budi bicara kepada mana-mana pegawai yang melaksanakan tugas itu untuk tidak mengeluarkan borang kepada sesiapa.

Tindakan mesti ikut perlembagaan, tegas Haniff


“Tapi kalau ada budi bicara, maka soalan ketiga ialah ialah kenapa budi bicara dibenarkan memihak kepada menteri sedangkan kesemua rakyat tertakluk kepada kuarantin kendiri pada masa itu?


"Bukankah dengan wujudkan budi bicara timbulkan soalan keempat iaitu budi bicara ini disusuli niat tidak baik iaitu arahan mana-mana pihak?,” soalnya lagi.

Pada masa sama, Haniff bertanya sekiranya Khairuddin sendiri yang meminta kepada pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak memberikan borang arahan kuarantin kerana tidak ingin tertakluk kepada kuarantin kendiri.

"Pengingkaran perintah kuarantin kendiri itu, jika budi bicara itu dijalankan dalam keadaan atau cara yang salah, ia juga menjurus kepada tindakan jenayah," tegas peguam itu lagi.

Sementara itu jelasnya persoalan dibangkitkan itu tidak untuk mempertiaki keputusan ACG, namun menurutnya segala tindakan mestilah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan memberi persepsi positif kepada rakyat.


 
 

Post a Comment

0 Comments