PARTI Amanah Negara (Amanah) yakin, Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan di kalangan Ahli Parlimen untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Keyakinan itu di suarakan parti itu melalui satu kenyataan yang berkaitan isu cubaan Muhyiddin yang cuba mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk meletakkan negara dalam status darurat.
“Kami berkeyakinan Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen dan seterusnya gagal mendapat sokongan bagi pembentangan Belanjawan 2020," jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut Amanah berkata sekiranya benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin mahu mengisytiharkan darurat dengan menggunakan ancaman Covid-19 sebagai alasan maka ia adalah satu tindakan yang tidak berasas.
Ia tegas mereka merupakan satu muslihat politik yang mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda negara.
Gesa berundur dengan bermaruah |
“Sebaliknya apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini.
“Apa yang disarankan juga adalah strategi komunikasi yang berkesan dan jelas mengenai semua tindakan yang perlu dilakukan rakyat,” kata parti itu.
Tambah mereka, tindakan mengisytiharkan keadaan darurat dalam negara hanya akan menambah derita yang sudah sedia ditanggung oleh rakyat ketika ini selain menjejaskan masa depan Malaysia dalam sektor pelaburan.
“Mahu atau tidak pengisytiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kaca mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.
Jesteru mereka menyuarakan harapan agar Seri Paduka Baginda mempertahankan amalan institusi demokrasi berparlimen dengan menolak cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat mahu mengisytiharkan darurat sekaligus boleh menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.
Mereka turut menggesa Muhyiddin yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara tanpa mandat dari rakyat melalui 'langkah Sheraton' mengakui telah kehilangan sokongan majoriti dan mengambil tindakan bermaruah dengan meletak jawatan.
“Tindakan meletak jawatan ini akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan,” ujar parti itu lagi.
Jangan jadikan rakyat tebusan politik
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata rakyat tidak sepatutnya dihukum dengan pengisytiharan darurat akibat kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin.
“Oleh yang demikian, Pejuang Muda mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha memanipulasi pengisytiharan darurat semata-mata bagi menyelamatkan jawatan dan kerajaan yang diyakini telah kehilangan majoriti sokongan di Dewan Rakyat.
“Amat mendukacitakan apabila rakyat dan negara ini terpaksa menjadi tebusan politik para pemerintah yang rakus kuasa,” katanya.
0 Comments