TINDAKAN pentadbiran Muhyiddin Yassin yang melantik ahli parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mengundang kritikan.
Ia susulan lantikan Shabudin dibuat ketika bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berdepan saman dan beberapa isu lain.
Peguam Haniff Khatri, berkata, pelantikan tersebut membangkitkan persoalan adakah Muhyiddin Yassin telah membuang prinsip tadbir urus yang baik dan integriti dalam pentadbirannya.
“Shabudin, bersama dengan ahli lembaga pengarah dari Perda, masih berdepan dengan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Penang kerana melanggar fidusiari dan dakwaan salah laku yang difailkan pada 13 dan 14 Februari 2019,” kata Haniff dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid turut mengkritik lantikan itu.
Sambil menyifatkan apa yang berlaku sebagai mengecewakan, Syerleena menyorot semula kenyataan Shabudin yang dianggap merendahkan kebajikan mangsa rogol Dewan Rakyat sewaktu menjadi ahli parlimen BN.
Sebagai rekod, pada 2017 Shabudin dilapor membuat cadangan agar mangsa rogol berkahwin dengan perogolnya. ia kononnya “remedi kepada masalah sosial yang berlaku” supaya mangsa tersebut tidak melalui satu masa depan yang gelap.
"Saya ingin bertanya kepada semua anggota wakil rakyat PN, khususnya wakil-wakil rakyat wanita, adakah anda semua tidak berasa apa-apa dengan pelantikan ini?
“Adakah anak-anak perempuan kita akan lebih selamat dengan seorang timbalan menteri undang-undang yang mempunyai pemikiran sebegini? Tepuk dada tanya selera,” kata Syerleena.
Pelantikan Shabudin dibuat bagi menggantikan ahli parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang akan mengambil alih jawatan timbalan menteri kerja raya, setelah jawatan itu dikosongkan oleh ahli parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.
0 Comments