TINDAKAN kerajaan Perak menandatangai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development untuk mengeksploitasi nadir bumi di Perak baru-baru ini dipertikai.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menuntut agar tiada apa-apa usaha berkaitan eksploitasi nadir bumi dimulakan di negeri itu.
"Kerajaan Perak mendakwa bahawa perjanjian ini akan tertumpu kepada penyelidikan untuk mengenalpasti nadir bumi di Perak dan tiada perlombongan akan dijalankan
"Tetapi hakikatnya tiada sebab untuk mengenalpasti deposit nadir bumi melainkan terdapat niat untuk menjalankan aktiviti perlombongan," kata Presidennya, Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil dalam satu kenyataan.
Shariffa Sabrina turut menggesa kandungan MOU tersebut didedahkan kepada orang ramai, bersama dengan sebarang syarat yang berkaitan sambil menyifatkan kenyataan dikeluarkan kerajaan negeri itu tidak boleh dipercayai sewenang-wenangnya.
"Syarat dan butiran yang terkandung dalam MOU masih tidak didedahkan kepada orang ramai dan mungkin mengandungi syarat di mana perlombongan akan dijalankan sekiranya deposit nadir bumi yang menguntungkan dikenalpasti," katanya lagi.
Sementara itu, Sabrina turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap terhadap Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar
Xavier katanya hanya mengejar keuntungan ekonomi dan menyokong inisiatif yang berpotensi untuk merosakkan alam sekitar.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian beliau bertarikh 16 November 2019 menyatakan bahawa ‘pelbagai usaha telah digerakkan untuk merealisasikan potensi sumber-sumber mineral supaya menjadi salah satu sumber ekonomi baharu negara’.
"Kenyataan itu juga menyuarakan hasrat supaya ‘perjanjian di antara kedua-dua pihak juga dipercayai mampu membuka mata kerajaan-kerajaan negeri lain dalam menyedari tentang kewujudan sumber mineral yang terdapat di negeri masing-masing'," jelas Sabrina.
0 Comments