AirAsia terima anugerah Best Sustainability


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia menerima Anugerah Best Sustainability dalam komuniti di Anugerah Perniagaan Lestari (SBA) Malaysia 2019.

Penganugerahan itu diberi berdasarkan komitmen syarikat terhadap pembangunan masyarakat di dalam dan luar Malaysia termasuk di negara jiran Thailand dan Indonesia.

Ketua Kumpulan Hal Ehwal Global, Hubungan Kerajaan dan Kemampanan AirAsia, Shasha Ridzam menerima anugerah itu bagi pihak AirAsia.

Ia disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan pada majlis malam gala di Kuala Lumpur, malam Selasa.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Shasha Ridzam berkata, sebagai syarikat penerbangan terbesar di ASEAN dan salah satu terbesar di Asia, pihaknya sedar akan tanggungjawab kepada banyak pihak yang berkepentingan dalam memastikan  AirAsia beroperasi  dengan selamat, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Ini telah menjadi asas usaha berterusan kami selama ini dan akan terus memacu prestasi masa depan kami,” katanya menerusi kenyataan itu.

Difahamkan, AirAsia menjalankan Usaha-usaha kemampanan termasuk pendidikan kepada tetamu, pengurangan karbon dan pengurusan sisa, pengumpulan dan pengasingan barang-barang kitar semula atas kapal terbang.

Selain itu, memupuk inisiatif perusahaan sosial di seluruh ASEAN melalui AirAsia Foundation yang telah mewujudkan pekerjaan untuk golongan kurang bernasib baik di negara-negara ASEAN dan telah memanfaatkan lebih 8,000 keluarga.

SBA pula memberi anugerah kepada perniagaan dan syarikat atas usaha kelestarian mereka dalam 12 kategori selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Post a Comment

0 Comments