PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemilihan speaker, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming telah dibuat secara sah dan tiada keperluan untuk menggantikan kedua mereka.
Menurut Anwar, gabungan itu berikrar akan menggagalkan usul dikemuka Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga pada persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.
“Dalam sidang Parlimen kali ini (13 Julai), kita harus tegas mempertahankan kedudukan speaker dan timbalan speaker yang dipilih secara sah,” katanya Anwar dalam satu siaran video secara langsung di laman Facebooknya.
Pada 26 Jun Muhyiddin mengemukakan usul bagi menggantikan Ariff dan Nga dalam persidangan yang dijadualkan pada 13 Julai ini.
Ariff yang mengesahkan menerima usul itu berkata, usul berkenaan diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat.
Tindakan itu dikecam banyak pihak terutama di kalangan Ahli Parlimen sendiri, Kumpulan pendesak reformasi Bersih 2.0 turut memulakan petisyen bagai membantah usul Muhyiddin.
Sementara itu, Anwar menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin yang melengah-lengahkan persidangan Dewan Rakyat sebelum ini.
PN tegasnya bersikap jumud kerana menjadikan alasan pandemik Covid-19 bagi menghalang persidangan Parlimen lebih panjang sebelum ini.
“Dulu mereka beri alasan kita ada Covid-19, tidak payah bincang, buang masa. Sikap jumud beginilah menyebabkan kita menyerah nasib negara dan keseluruhan rakyat kepada beberapa kerat penguasa,” katanya merujuk kepada persidangan sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas.