Oleh: SHAHBUDIN HUSIN | Berdasarkan laatan dan tinjauan saya ke beberapa negeri, bersembang di warung kopi serta restoran di kampung dan bersantai di kafe di pekan dan bandar, rata-rata sentimen rakyat sedang memihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk diberikan kemenangan pada PRU15 ini.
Sebab paling nyata kenapa HARAPAN menjadi pilihan ialah disebabkan ketokohan yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim
Ada yang simpati kerana melihat Anwar gigih berjuang dan beberapa kali difitnah serta ditipu oleh Tun Mahathir Mohamad dan teman perjuangannya seperti Azmin Ali, Hadi Awang, Mahiaddin Md Yasin dan ramai lagi.
Mereka yang seangkatan dengannya walaupun berlainan parti, percaya Anwar tidak mencuri harta negara walaupun seinci tanah kerajaan, sebatang balak atau seunit saham.
Bagi mereka dalam lingkungan 40an ke bawah, kekaguman mereka lebih kepada kegigihan dan kekuatan Anwar yang berkempen setiap hari tanpa kenal penat.
Kegigihan Anwar yang lama berjuang, bermula sebagai pemimpin pelajar, pemimpin ABIM, Pertubuhan Belia Islam Sedunia sehinggalah menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, meyakinkan mereka yang berfikir bahawa Anwar adalah calon terbaik untuk memimpin negara ini.
Sementara mereka yang menentangnya menggunakan fitnah lama – Anwar berkawan dengan DAP yang dianggap komunis, LGBT dan liwat semata-mata kerana tidak mampu menyanggah dasar dan gagasan untuk rakyat Malaysia yang mahu diperjuangkan Anwar.
Isu bangsa dan agama telah lama “membonsai” pemikiran Melayu khususnya penyokong Pas yang dari dulu hingga kini gagal melahirkan seorang tokoh yang layak ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.
Menariknya, ramai veteran Umno setuju dengan pandangan Tun Musa Hitam bahawa Anwar paling layak jadi Perdana Menteri, manakala lapisan muda pula kagum dengan tenaga Anwar yang tidak pernah kelihatan penat itu.
Mereka setuju bahawa seorang Perdana Menteri bukan saja harus pintar, mesti sihat dan cergas kerana badan yang sihat akan melahirkan pemikiran yang pasti segar.
Mereka agak prihatin dengan keadaan Ismail Sabri dan Mahiaddin yang kelihatan tidak secergas dan bertenaga seperti Anwar.
Mak Cik yang mendengar perbualan kami, mencelah; Anwar lama berehat dalam penjara, sebab tu nampak pun muda.
Mereka yang kritikal terhadap Anwar mengakui rekod perkhidmatannya cuma berkawan dengan DAP yang merunsingkan mereka.
Bila ditanya dalam DAP ada calon Melayu dan India, kenapa tidak marah kepada MCA dan MIC yang letak calon kaum mereka saja?Peluang terakhir selamatkan Malaysia
Tidak seorang pun yang menjawab, cuma seorang dua yang berkata, Umno sudah lama bersama MCA dan MIC.
Pak Long Seman yang nyata totok PAS bila ditanya siapa yang nak disokongnya, lantas menjawab – dari dulu sampai mati akan sokong PAS.
Ditanya kenapa?
Jawabnya, “ambo tok se masuk neraka weh”.
SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia
0 Comments