OLEH: DR BAM AL-HAJ | DAP akan kuasai negara jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi kerusi majoriti dan memerintah negara selepas PRU15’, inilah naratif yang menjadi modal kempen politik dua parti gabungan Melayu kali ini.
Dikatakan DAP akan menang 42 kerusi, manakala KEADILAN 50 kerusi dan Amanah 20 kerusi. Jumlah keseluruhan ialah 112 kerusi.
Bagus juga ramalan ini, maka analisis mereka, DAP ada 41 kerusi Cina dan KEADILAN ada 12 kerusi Cina, menjadikan kerusi Cina dalam HARAPAN berjumlah 53, sedangkan Melayu hanya ada 59 kerusi.
Oleh itu, lebih baik sokong BN atau PN, jika BN boleh dapat 35 kerusi dan PN memperoleh 35 kerusi, Sabah Sarawak (42 kerusi) boleh bergabung dan membentuk kerajaan.
Daripada 112 kerusi gabungan BN, PN, Sabah dan Sarawak, jumlah kerusi Cina dan bukan Melayu mungkin hanya 38, maka jumlah kerusi Melayu-Islam menjadi 74 kerusi.
Kenapa isu ini sering ditimbulkan untuk menafikan kemenangan HARAPAN?
Sebabnya sangat mudah untuk memainkan "sentimen" pengundi.
Dengan mewujudkan "ketakutan" negara ini akan diperintah oleh bangsa Cina dan nasib Melayu akan menjadi seperti nasib Melayu di Singapura, mereka mungkin akan mendapat sokongan.
Betulkah nasib Melayu Singapura ditindas dan terlalu buruk? Adakah penduduk Melayu Singapura mahu berhijrah ke Malaysia jika ditawarkan status kewarganegaraan?
Data menunjukkan tidak ramai Melayu Singapura yang mahu berhijrah (jika mereka ditindas) ke Malaysia melainkan beberapa orang artis Melayu yang tahu pasaran dunia hiburan lebih terjamin di Malaysia.
Bagi saya perpecahan Melayu berpunca daripada parti UMNO sendiri.
PAS keluar daripada UMNO kerana tidak bersetuju dengan pemimpin UMNO yang tidak mahu melaksanakan Islam dalam pemerintahan, kerana UMNO memang sebuah parti sekular.
Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO, begitu juga Mahiaddin Yassin. Kedua-duanya disebabkan mereka tidak bersetuju dengan Presiden UMNO dalam hal yang melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Yang tinggal dalam UMNO hanya "yes man", tukang angguk walaupun tahu ketua mereka terlibat dalam pelbagai skandal salah guna kuasa.
Jika dianalisis, BN/UMNO sudah mula ditolak pengundi sejak 1990, namun Mahathir menggunakan persempadanan semula kawasan pilihanraya (gerrymandering) yang menguntungkan BN untuk menyelamatkan parti itu.
Hasilnya pada 1995, BN menang bergaya.
Pada PRU11 (1999), BN sekali lagi hilang sokongan (merosot). Maka, sekali lagi "gerrymandering" dijadikan senjata. BN kembali menang besar pada 2004 di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Walau demikian, sejak PRU12 (2008), BN sekali lagi ditolak oleh pengundi. Majoriti 2/3 BN berjaya dinafikan. Lima negeri telah jatuh ke tangan pembangkang.
BN sekali lagi merosot undinya pada PRU13 (2013) dan pada PRU14 (2018), BN tumbang. Ini sejarah. Kenapa? Kerana BN dilihat tidak lagi mementing rakyat, tetapi sebaliknya menjadi parti yang bergelumang dengan najis rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. BN ditolak oleh Melayu dan bukan Melayu yang "sedar".
Apa pilihan orang Melayu dalam PRU15?
Melayu kena bersatu sokong HARAPAN. Maka dengan itu kerusi Melayu dalam PH akan bertambah. DAP maksimum 42 kerusi.
Jika Melayu ingin menjadi kuat dalam HARAPAN, mereka perlu menangkan 100 kerusi Melayu, barulah Melayu kuat. Ini kerana calon Melayu dalam HARAPAN ialah 142 orang, berbanding BN 122 dan PN 136.
Melayu perlu bersatu dalam HARAPAN, bukan dalam BN yang terbukti merosakkan negara dengan amalan politik wang dan rasuah.
Bukan dalam PN yang tiada pendirian. Ratib dan naratif perkauman dan agama sempit makin ditolak dan semakin tidak relevan.
Ratib menakut-nakutkan Melayu dengan DAP yang kononnya komunis dan Cina nak rampas negara inilah yang menyebabkan Melayu terus berpecah, walhal adalah mustahil dengan hanya maksimum 60 kerusi Parlimen, Cina akan menjadi Perdana Menteri, kedudukan Raja-raja Melayu terancam, Bahasa Melayu akan dibincang dan Islam dikeluarkan sebagai agama rasmi negara.
Ini kerana semua itu dijamin di sisi Perlembagaan dan Raja-raja Melayu adalah kata pemutus dalam Negara Berlembagaan ini.
Negara ini perlu ditadbir dengan cekap, adil dan saksama, bukan dengan dasar pilih kasih. Akibat dasar pilih kasih dan "patronage" (perlindungan) kaum inilah maka Melayu hanya mengharapkan kabel untuk naik dan berjaya dalam bisnes dan kehidupan.
Kita sepatutnya menguatkan jati diri bangsa dengan sifat dan sikap yang betul, beradab, jujur, berdisiplin, bermaruah, kerja kuat, berani mengambil risiko, mempunyai kemahiran dan kepakaran, serta cemerlang dalam pendidikan, bukannya bergantung kepada kuota untuk mendapat tempat.
Masa untuk bergantung kepada kuota sepatutnya sudah berlalu. Inilah yang selama ini melemahkan bangsa Melayu.
Melayu sebenarnya boleh cemerlang dan mampu bersaing dengan bangsa lain dalam semua aspek kehidupan jika diberi kefahaman, motivasi dan kaedah sebenar untuk berjaya.
Dalam pendidikan, jika kita tidak mampu bersaing dalam dunia akademik, itu bukan bermakna jalan mati.
Sistem pendidikan kita perlu mengutamakan bidang kemahiran vokasional, teknikal dan digital yang praktikal sehingga 60%.
Di sinilah perlunya kita ubah sistem pendidikan dan ini memerlukan pemimpin yang betul dan berani melakukan perubahan.
BN dan PN nampaknya sudah tumpul dan ketiadaan idea, kecuali beberapa orang, kerana asyik mengutamakan kuasa dan kepentingan diri berbanding membina negara ke jalan yang betul.
Melayu di negara ini majoriti dan kita perlu bersatu dengan memberi peluang kepada pemimpin baharu mengubah keadaan.
Melayu kena dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti, bermaruah, genius dan bertaraf antarabangsa, bukan pemimpin yang korup dan hanya mementingkan diri sendiri.
Selepas 60 tahun BN memerintah, tetapi kenapa Melayu masih layu di bumi sendiri? Kerana kita memilih pemimpin yang salah!
Pada PRU15 kali ini, kita pilihlah pemimpin yang betul.
Kita juga perlu pemimpin pembangkang yang berintegriti dan berwibawa, bukan yang emosional dan menjerit-jerit tanpa adab di sidang Parlimen dan DUN.
Pilih pemimpin yang matang, berdisiplin, berintegriti, berilmu dan beradab.
Masa untuk kita ubah masa depan negara |
Jika kita mahu ekonomi negara maju dan pelabur luar datang ke Malaysia, pilihlah HARAPAN. Jika mahu mengekalkan yang sedia ada dan ekonomi semakin malap, terserahlah.
Mengharapkan hasil yang berbeza daripada pemimpin dan kaedah yang sama adalah sesuatu yang mustahil!
Masa depan negara adalah pilihan kita semua. Apa yang penting, turunlah mengundi walaupun hujan dan banjir, kerana kita berhak memilih dan menentukan hala tuju negara tercinta ini.
DR BAM AL-HAJ adalah seorang pemerhati politik dan penulis buku.
Tulisan ini disalin dari siaran Malaysiakini, ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia
0 Comments