DATUK SERI ANWAR IBRAHIM dipilih sebagai calon Perdana Menteri (PM) yang paling berkebolehan untuk memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pandangan itu dinyatakan Firma pemikir bebas, EMIR Research melalui Presidennya, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff melaui satu kenyataan hari ini.
Menurut Rais, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu adalah pilihan yang jelas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu negara yang antaranya membabitkan kemerosotan status sosioekonomi, peluasan jurang ketidaksamaan antara etnik dan fenomena 'brain drain'.
"Berdasarkan fakta dan merit antara pilihan yang ada, kita mempunyai pilihan yang jelas untuk kepimpinan Malaysia selepas PRU15.
"Sememangnya Anwar adalah calon PM yang paling bersifat intelek dan berjiwa ilmiah berbanding yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rais juga menegaskan bahawa dalam keadaan negara hari ini, tugas yang harus dipikul perdana menteri amat sukar dan mencabar. Justeru ia harus diserahkan kepada Individu yang berkelayakan tinggi.
Tindakan kumpulan 70 ilmuan dan bekas ahli akademik Melayu yang dinamakan sebagai G70 memilih Anwar sebagai calon perdana menteri pilihan telah memberi petunjuk bahawa Anwar adalah individu yang tepat untuk jawatan itu.
"Ini adalah pandangan yang dikongsi oleh kumpulan G70 yang mendapati Anwar sebagai satu-satunya tokoh politik yang mempunyai kebijaksanaan, pengalaman dan integriti yang boleh memimpin masyarakat berbilang budaya sambil menegakkan prinsip dan ajaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan sekali gus dapat membina semula imej dan nama baik negara," ulasnya.
Berbanding calon dari Barisan Nasional dan Perikatan Nasional , Anwar jelasnya paling sesuai memimpin Malaysia yang rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum.
Anwar juga telah membuktikan keupayaan akademik dengan memegang jawatan pensyarah di St Anthony’s College di Oxford, School of Advanced International Studies di Johns Hopkins University dan di School of Foreign Service di Georgetown University.
"Siapakah antara calon-calon PM yang paling sesuai untuk memimpin negara berbilang kaum dan budaya ini jika bukan Anwar, yang seperti ditulis oleh Georgetown University, beliau dihormati di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin dalam dialog antara agama dan hubungan Kristian-Muslim dan merupakan salah satu daripada penandatangan awal kepada inisiatif 'Common Word'.
"Siapakah antara calon-calon PM yang telah dikenali dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan untuk semua jikalau bukan Anwar yang seperti yang ditulis oleh biro speaker 'Specialist Speakers', pernah dilantik menjadi Presiden Kehormat bagi grup AccountAbility di London dan juga sebagai Pengerusi 'Foundation for the Future' di Beirut," ujar beliau.
Menurut Rais Hussin lagi, jika ada yang mempersoalkan keikhlasan Anwar, perlu diketahui bahawa tokoh reformasi itu pernah terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974 untuk memerangi kemiskinan dan meringankan penderitaan rakyat yang telah menyebabkan beliau dipenjarakan hampir dua tahun.
"Tidak dinafikan fakta sejarah ini membentuk sudut pandangan politik dan sosial Anwar yang diperhatikan dalam kerjayanya.
"Anwar mempunyai pengalaman luas sebagai menteri, terutamanya sebagai timbalan perdana menteri dan sebagai menteri kewangan pada 1990-an yang telah membuktikan ketokohan beliau dalam membimbing Malaysia mengharungi tempoh ketidakstabilan semasa krisis kewangan Asia 1997," jelas beliau.
Tambahnya, dengan pengalaman dan jasa Anwar telah membolehkan bekas Timbalan Perdana menteri itu mendapat pengiktirafan dan anugerah antarabangsa, seperti digelar 'Asian of the Year' daripada Newsweek International.Berikan kuasa pimpin negara kepada yang layak
"Selepas mengalami penganiayaan, pemecatan jawatan yang tidak adil dan pendakwaan bersifat politik selama bertahun-tahun, Anwar boleh sahaja berundur dan bersara namun beliau memilih untuk terus berjuang untuk negara.
"Sebagai pemimpin pembangkang sejak sekian lama, beliau telah memperoleh pandangan yang luas tentang keseluruhan pentadbiran dan permainan politik kerana beliau pernah berada di kedua-dua belah pihak," katanya dipetik.
0 Comments