Tak bertanding pemilihan, Nurul Izzah fokus usaha tarik pengundi


AHLI PARLIMEN
Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa beliau mahu memberi tumpuan membantu parti menarik pengundi atas pagar.

Nurul yang tidak bertanding bagi merebut enam jawatan tertinggi dalam pemilihan KEADILAN kali ini berkata, usaha itu akan dilakukanya bagi melindungi masa depan parti itu walaupun tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti.

“Meski saya tidak terlihat dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. Moga-moga KEADILAN mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi – saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.
 
“Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya di Facebook.

Beliau turut mengulangi keputusannya meletak jawatan pada 2018 antara lain kerana kecewa dengan pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam parti itu.

Sebagai rekod, pada 17 Disember 2018, Nurul melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden parti dan Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang.

Nurul tetap raikan proses demokrasi parti
“Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasai sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya merujuk kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas 22 bulan mentadbir Putrajaya susulan beberapa wakil rakyat termasuk daripada KEADILAN yang menarik sokongan dan keluar parti.

“Peletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti. Sebaliknya ia merupakan langkah introspeksi mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments