MAHKAMAH Tinggi diminta mensabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak atas semua tujuh pertuduhan membabitkan kes SRC International Sdn Bhd.
Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V Sithambaram yang dipetik berkata, pihak pendakwaan telah berjaya menangani tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahkan kedudukan yang dihadapi oleh bekas Presiden Umno itu.
“Saya dengan rendah hati mengemukakan bahawa tujuh pertuduhan tersebut telah terbukti,” katanya selepas menyelesaikan penghujahannya semalam.
Sithambaram berkata bagi tiga pertuduhan CBT itu, Najib mempunyai pengetahuan mutlak bahawa wang RM42 juta dalam tiga akaun peribadinya adalah daripada SRC.
”Tingkah lakunya jelas sebagai seorang yang dengan sengaja melakukan kesalahan jenayah tanpa hukuman kerana kedudukannya,” katanya sambil menambah SRC mengalami kerugian sebanyak RM42 juta manakala tertuduh memperoleh jumlah tersebut.
Bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib menurut Sithambaram telah dapat mempengaruhi pengeluaran pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM2 bilion secara keseluruhan.
Terakhir bagi tuduhan pengubahan wang haram, Timbalan Pendakwa Raya itu berpendapat bahawa mana-mana orang yang waras memegang jawatan tertinggi dalam negara akan mengambil tindakan serius jika menemukan wang haram dalam akaun bank peribadinya.
Sithambaram berkata, ia dianggap sebagai kebutaan yang disengajakan apabila Najib,67, gagal menyoal mengenai sumber aliran masuk wang ke akaunnya.
”Najib, sebagai pemegang akaun bank perlu berhati-hati dan waspada mengenai dana yang masuk ke akaun bank peribadinya yang akhirnya dibelanjakan sepenuhnya. Tertuduh tidak boleh mengarahkan orang lain untuk memastikan dana diisi semula dalam akaun banknya agar dia dapat membelanjakan tanpa kisah mengenai sumber dana tersebut.
”Oleh kerana tertuduh telah menghabiskan wang yang didermakan dan memulangkan sebahagian yang kemudian diterima dalam akaun banknya, bagaimana dia boleh mengeluarkan lebih banyak cek tanpa curiga akan dana di dalam akaunnya.
“Orang yang waras akan mempersoalkan jumlah (wang) yang sangat besar,” katanya.
Pada awalnya, Sithambaram berhujah bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai pengetahuan jelas mengenai perbelanjaan Najib dan telah mengambil langkah proaktif sebelum tertuduh mengeluarkan cek.
Katanya, walaupun tema utama pembelaan semasa perbicaraan bahawa Jho Low tidak mempunyai pengetahuan mengenai cek yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu, tetapi bukti menunjukkan ahli perniagaan itu mengambil langkah memastikan terdapat dana yang secukupnya sentiasa dalam akaun Najib.
Sithambaram kemudian membaca petikan pemeriksaan balas terhadap tertuduh untuk menunjukkan koordinasi antara Joh Low dan ketua setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi pihak Najib dan antara Jho Low dan bekas perdana menteri itu sendiri dalam memastikan dana mencukupi untuk menulis cek.
Petikan tersebut, antara lain merangkumi perbualan BBM (BlackBeryy Messenger) berhubung pembelian menggunakan kad kredit Najib di Hawaii di mana Jho Low memaklumkan Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping supaya memastikan pembayaran dapat dilakukan.
“Bukti pada perbicaraan telah membuktikan Jho Low bukan selalu bertindak reaktif bagi memastikan cek Datuk Seri Najib tidak ditendang malah Jho Low cuba memastikan akaun tertuduh mempunyai dana yang mencukupi walaupun sebelum dia (Najib) mengeluarkan ceknya.
“Bertentangan dengan dakwaan pembelaan mengenai peranan reaksioner yang dimainkan oleh Jho Low, beliau aktif dan memudahkan tertuduh menguruskan akaun bank dan akaun kad kreditnya.
”Ini jelas menunjukkan apabila tertuduh dan Jho Low berkomunikasi secara langsung dan juga ketika Azlin berhubung bagi pihak tertuduh ialah memastikan cek tidak ditendang,” tegas Sithambaram.
Pada Selasa, peguam yang mewakili Najib, Harvinderjit Singh mendakwa kehilangan RM42 juta dana dari SRC adalah diakibatkan beberapa orang yang tidak dikenali.
0 Comments