Bekas Timbalan Pengerusi SPR tempelak Abdul Hadi


BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menempelak kenyataan Presiden PAS yang menganggap pemberian wang kepada pengundi sebelum dan semasa pilihan raya sebagai ‘sedekah’.  

Wan Ahmad dipetik laporan Utusan sebalinya menegaskan apa-apa bentuk pemberian wang kepada pengundi dalam tempoh rasmi berkempen adalah satu sogokan.

Tindakan itu jelasnya adalah perbuatan ‘membeli undi’ dan itu adalah rasuah semasa pilihan raya dan ia menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Apabila memberi wang kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya, itu boleh ditafsir sebagai sogokan dan perbuatan rasuah mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Saya syorkan jika ada mana-mana pihak terkilan melihat perkara-perkara sogokan wang untuk membeli undi rakyat dalam pilihan raya, maka kumpul bukti-bukti dan laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah dan menyifatkan pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon PAS atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.

Wan Ahmad sementara itu berkata, badan-badan penguat kuasa berkaitan tidak boleh memandang remeh isu ini dan apa sahaja laporan berkaitan rasuah atau sogokan membeli undi perlu dibuka siasatan dan dibawa ke mahkamah.

Mereka yang terlibat tegasnya perlu menerima hukuman dan jika terbukti bersalah, mahkamah boleh mengisytiharkan kerusi terbabit yang dimenangi melalui ‘sogokan wang’ dan perbuatan rasuah menjadi kosong.

“Tugas dan tanggungjawab pihak-pihak berwajib (SPRM, SPR) untuk bersama menjalankan siasatan. Jika laporan dibuat kepada polis, juga perlu buka kertas siasatan.

“Sekarang Hadi sendiri sudah mengaku ejen-ejen PAS telah beri ‘sedekah’ sogokan wang untuk pengundi mengundi calon Pas/Perikatan Nasional (PN). Mahkamah berkuasa mengistiharkan kerusi itu kosong kalau terbukti rasuah sogokan wang kepada pengundi,” katanya dipetik.

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan bahawa seseorang itu disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok apabila sebelum atau semasa sesuatu pilihan raya dengan sendiri atas melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan atau bersetuju untuk memberikan, atau menawarkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada mana-mana pemilih atau pengundi.

Ia bagi mendorong mereka supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut itu dalam mana-mana pilihan raya.

Selain itu terdapat lapan sub-seksyen tambahan lain yang setiap satu memberi penjelasan setiap jenis penyogokan dan perbuatan rasuah sebelum dan semasa sesuatu pilihan raya.

Hukuman untuk orang yang didapati bersalah dibawah perkara itu adalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima ribu ringgit.


'Sedekah' ketika kempen tetap rasuah
Tiap-tiap orang yang disabitkan sesuatu perbuatan rasuah tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya.


Dan jika telah dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan.

Post a Comment

0 Comments