Malaysia jadi negara berjaya jika perbezaan agama dan kaum diketepi

 


MALAYSIA hanya dapat mencapai kejayaan sekiranya seluruh rakyatnya dapat menolak semua jenis prasangka perkauman dan perbezaan agama yang menghancurkan perpaduan rakyatnya.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gagasan 'Masyarakat Madani' yang mahu diterapkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpinnya tidak akan bermakna sekiranya prasangka agama dan rasa kebencian antara kaum tidak diredakan.

Tambahnya, retorik perbezaan kaum mesti segera ditamatkan kerana tiada sesiapa meminta dilahirkan sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, sebaliknya ia adalah takdir Allah SWT yang mesti diterima dan diraikan.

"Bila ada persaingan kaum dan agama yang sempit, maka yang ditanam itu adalah kebencian. Kita perlu terima perbezaan kita sebagai satu kekuatan

"Slogan Masyarakat Madani menuntut keyakinan kita sebagai rakyat. Semua agama ada kepercayaan mereka.

"Untuk hidup dalam masyarakat mesti faham kemanusiaan dan kemanusiaan itu tiada makna jika tiada kasih sayang antara kita," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Beliau sebelumnya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dianjurkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Bayan Lepas pada Isnin.

Turut hadir pada majlis itu adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, selain isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu juga, Anwar melontar pujian kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memusatkan pembangunan ekonomi negeri seiring keadilan sosial dengan mengambil kira golongan miskin bandar dan B40.

Kebencian antara kaum tak bawa keuntungan
"Sebab itu, seperti yang saya tekankan sebelum ini, pengagihan kekayaan perlu seimbang dan kita perlu melakukan lebih lagi untuk rakyat bawahan serta komuniti B40.

"Hanya dengan cara itu, pembangunan akan menjadi lebih seimbang dan adil. Ini yang dilakukan sekian lama di Pulau Pinang," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.



Post a Comment

0 Comments