Yakin Johor stabil ditadbir HARAPAN bawah naungan Sultan


PENTADBIRAN di negeri Johor tetap stabil sekalipun berlaku pertukaran kerajaan yang memimpin selagi berada di bawah naungan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Hasanuddin Yunus berkata, sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali menjadi kerajaan di  negeri itu, gabungan itu akan tetap taat serta setia tanpa berbelah bahagi kepada sultan Johor.

"Sebagai rakyat negeri Johor, patik menjunjung kasih atas keprihatinan titah Tuanku Sultan Johor tersebut dan bersyukur dilahirkan di negeri Darul Takzim.

"Sebarang pertukaran kerajaan tetap akan stabil di bawah bimbingan dan naungan Tuanku Sultan sebagai payung utama negeri.

"Sekiranya majoriti Adun Johor kembali mengekalkan keputusan rakyat pasca 9 Mei 2018, saya yakin HARAPAN akan tetap taat serta setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan dalam menjalankan amanah memaju dan memakmurkan rakyat negeri Johor jua," katanya dalam satu kenyataan.

Hasanuddin berkata begitu sebagai mengulas titah Sultan Ibrahim yang memberi amaran kepada wakil rakyat di Johor bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Sebelum ini ada laporan mendakwa berlaku kemelut dalam hubungan antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu. 

Bekas Menteri Besar Johor dari Bersatu, Osman Sapian pada Mei lalu dipetik berkata  hubungan kedua parti itu  kurang mesra apabila beberapa keputusan lebih mengutamakan Umno Johor, sekaligus mengetepikan Bersatu.

Situasi itu dilihat mengakibatkan  pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Johor dilihat rapuh dan gabungan HARAPAN yang diberi mandat oleh rakyat negeri  pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu pula dilihat mengintai peluang mengambil kembali pentadbiran negeri.

Terdahulu, melalui satu catatan di Facebook, Sultan Johor bertitah bahawa dirinya tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

Perkara 23 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN pada peringkat pertengahan walaupun belum berakhir juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).                                
                                                                                              
Hasanuddin berkata, titah Sultan Johor untuk membubarkan DUN itu amat bertepatan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. Tegasnya, kepentingan rakyat menjadi keutamaan istana Johor dan Pakatan Harapan dalam negara ini.

HARAPAN bersedia


Sementara itu, HARAPAN Johor dalam satu kenyataan dikeluar  semalam berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen.

Menerusi satu kenyataan bersama ditandatangani Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong, gabungan itu mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan berkata mereka bersedia mendepani situasi politik semasa yang sedang berlaku.

“HARAPAN Johor juga menyatakan komitmen terhadap amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri serta negara kita,” kata mereka.

Post a Comment

0 Comments