ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Kedah memberi amaran supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sekadar menabur janji untuk meminda kta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berkaitan pemandu mabuk.
Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari menegaskan bahawa janji itu sewajarnya disusuli dengan membawa pindaan tersebut ke sidang Dewan Rakyat tanpa lengah.
Ingatan itu dibuat Firdaus susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan memberi perhatian serius dan mengambil tindakan tegas terhadap isu membabitkan pemandu mabuk sehingga menyebabkan kes kematian.
“AMK Malaysia menyambut baik tindakan serius yang mahu diambil membabitkan pemandu mabuk sepertimana yang dijanjikan kerana ia melibatkan nyawa manusia merentasi pendirian politik.
“Kerajaan perlu sepantas yang mungkin dan bersungguh-sungguh menangani isu ini sepertimana isu wabak covid-19 ditangani kerana kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu maut adalah pandemik yang terabai dan tersisih,” tegasnya.
Tambah Firdaus lagi, cadangan sebelum ini agar hukuman terhadap pemandu mabuk dan pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian perlu ditingkatkan kepada minima penjara lima tahun dan maksimum penjara seumur hidup mesti direalisasikan.
Ia termasuk tindakan mengenakan denda tidak lebih dua ratus ribu ringgit dan wang pampasan dibayar kepada keluarga waris serta lesen memandu pesalah juga harus digantung seumur hidup seperti yang dicanangkan.
Beliau turut menyarankan kerajaan mengambil tindakan lebih drastik membantu keluarga mangsa membuat tuntutan sivil tanpa beban kewangan yang tinggi terhadap merekatermasuk melalui kerjasama erat dengan Majlis Peguam Malaysia.
Sebagai rekod, kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini secara berprinsip telah setuju meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pindaan itu yang sepatutnya dibawakan ke Dewan Rakyat tahun ini tidak sempat diusulkan ke Parlimen susulan 'langkah Sheraton' yang menyaksikan pentadbiran di Putrajaya bertukar.
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke dalam satu kenyataan sebelum ini berharap usaha HARAPAN memperketat undang-undang terhadap pemandu mabuk diteruskan oleh PN.
0 Comments