JABATAN Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan umat Islam di negeri itu melaksana solat sunat gerhana.
Dalam satu kenyataan, Jabatan itu berkata, ia bagi memenuhi tuntutan sunat muakkad sempena Gerhana Matahari Separa yang dijangka berlaku Khamis ini.
Gerhana Matahari Separa itu dijangka berlaku mulai pukul 11.18 pagi sehingga 3.09 petang, dengan waktu kemuncaknya pada pukul 1.11 tengah hari, ketika 85 peratus matahari ditutupi oleh bulan.
"Bagi masjid atau surau yang ingin melaksanakan solat sunat gerhana secara berjemaah, maka dicadangkan agar ia dapat dilaksanakan selepas solat zuhur secara berjemaah.
"Bagi yang ingin melaksanakannya secara individu, mereka boleh melaksanakannya sepanjang masa berlaku gerhana matahari," menurut kenyataan itu.
Fenomena gerhana itu berlaku kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.
Di Terengganu pula akan berlaku gerhana matahari separa bermula jam 11.24 pagi pada hari yang sama.
Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, gerhana anulus itu berlaku serentak, dengan bulan menyentuh pinggir barat matahari kemudian menutupi dan meninggalkan matahari.
0 Comments