Wanita trauma jadi tebusan dalam rompakan bank di Ipoh


SEORANG pelanggan wanita dijadikan tebusan dalam satu rompakan di sebuah bank di Taman Silibin dekat Ipoh semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki bersenjatakan pistol itu menyerbu masuk ke dalam bank dan mengacukan pistol ke arah pelanggan berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus yang dipetik laporan Awani berkata, ketika kejadian, hanya terdapat tiga orang pelanggan sahaja di dalam bank berkenaan.

Tambahnya, perompak yang memakai topi keledar berpenutup penuh kemudiannya mengugut pekerja bank agar menyerahkan wang dengan menjadikan seorang pelanggan wanita berusia lingkungan 50-an sebagai tebusan.

"Dengan menggunakan pelanggan sebagai tebusan untuk mengugut pekerja bank untuk memberi mereka duit, pihak bank telah memberi wang daripada kaunter sebanyak lebih kurang RM28,000 dan suspek terus melarikan diri," kata Zaihairul dalam satu kenyataan.

Menurut Zaihairul, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek masuk ke dalam bank melalui pintu di bahagian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar bank.

Jelasnya, walaupun tiada sebarang tembakan dilepaskan, mangsa telah mengalami trauma dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Susulan kejadian itu, pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Post a Comment

0 Comments