BEKAS Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur malam tadi.
Bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.34 malam pada usia 84 tahun.
Bernama melaporkan adik ipar Allahyarhamah ketika dihubungi mengesahkan beliau meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Dr Awang Sariyan turut memuat naik status berhubung perkara itu di laman Facebook beliau.
Zaleha pernah menjadi pegawai di DBP selama 10 tahun daripada tahun 1968 hingga 1978 sebagai pegawai di Bahagian Ensiklopedia dan menjadi Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran.
“Arwah juga merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu sebelum menyertai dunia politik secara sepenuh masa,” katanya.
Difahamkan, sebelum aktif dalam politik, Allahyarhamah pernah bertugas di Radio Malaya sebagai pembantu rancangan.
Mula aktif berpolitik pada 1968 |
Allahyarhamah terlibat dalam politik selama 30 tahun dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1978 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Selangor.
Difahamkan, Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota jam 10 pagi ini.
0 Comments