Oleh: ZUNAR | Anwar Ibrahim tak mampu tadbir negara ketika krisis, begitulah kata Mahathir seperti dilaporkan oleh media. Kenapa bekas perdana menteri itu masih mengeluarkan kenyatan seperti ini sedangkan dialah yang datang berjabat tangan dengan Anwar di mahkamah untuk membentuk gabungan PH sebelum PRU14?
Kenapa kenyataan yang bersifat gelisah, penuh dendam kesumat dan berhati kaldu ini masih diucapkan?
Memerhati dengan rapat tingkah lakunya, saya dapat katakan bahawa Mahathir mempunyai sejenis penyakit "Anwar-o-fobia," iaitu sejenis penyakit kronik yang mana pesakitnya hidup dalam ketakutan terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim.
Pesakit bernama Mahathir ini tidak akan dapat tidur lena selagi Anwar mempunyai peluang untuk jadi perdana menteri, walaupun ia hanya satu peratus.
Kenapa Mahathir takut kepada Anwar? Mudah, kerana dia tak mahu ada orang yang lebih baik darinya memimpin negara ini. Selama ini dia dianggap sebagai perdana menteri yang hebat - sebagai jagoan, wira dunia ketiga dan pemimpin serba maha. Sudah tentu kewiraan itu nampak jelas jika dibandingan dengan Pak Lah, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.
Namun jika dibanding dengan Anwar, kemungkinan tidak. Oleh sebab itu, Anwar harus dihalang daripada menjadi perdana menteri selagi hayat Mahathir ada.
Berbalik kepada kenyataan terbaru Mahathir bahawa Anwar tak berkeupayaan untuk mentadbir negara di saat krisis. Maksud Mahathir bahawa dialah orang yang paling layak berbuat demikian.
Mari kita lihat sebahagian dari rekod Mahathir mentadbir negara ketika dalam krisis.
Dari segi ekonomi - pada krisis kewangan 1998, seorang ahli perniagaan telah mengalami kerugian besar dalam perusahaan perkapalan. Mahathir telah mengarahkan supaya wang negara berjumlah RM1.7 bilion digunakan untuk bailout syarikat tersebut.
Ahli pernigaaan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Mirzan, anaknya sendiri. Orang yang tidak mahu mengeluarkan wang negara bagi tujuan tersebut ketika itu ialah menteri kewangan, iaitu Anwar Ibrahim. Kerana itu Daim dilantik sebagai menteri khas untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.
Berapa billion lagi wang negara dihabiskan untuk membantu keluarga dan kroni Mahathir? Ruang ini tidak cukup besar untuk mengupas isu Empangan Bakun, Lebuhraya Plus dan Perwaja yang mempunyai cerita hampir sama.
Apakah ini kriteria seorang kepala negara yang pandai mentadbir ketika krisis? Untuk selamatkan anak dan kroni?
Dari segi politik - pada 1988, ketika krisis kempimpinan Umno yang menyaksikan Mahathir hampir-hampir kalah kepada Tengku Razaliegh sebagai presiden dalam pemilihan Umno, dia menggunakan kuasa kuku besi untuk bertindak ke atas hakim-hakim yang mahu membicarakan kes tersebut
Ketua Hakim Negara keitika itu, Salleh Abas bersama lima hakim - Azmi Kamaruddin, Eusoffe Abdoolcader, Wan Hamzah Mohamed Salleh, Wan Suleiman Pawan Teh dan George Seah telah dipecat oleh Mahathir.
Tindakan Mahathir tersebut menyebabkan kehancuran parah kepada sistem kehakiman negara dan ia gagal dipulihkan sampai hari ini. Hakim-hakim tersebut dipecat untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden Umno dan perdana menteri.
Apakah memijak kedaulatan undang-undang bagi menyelamatkan kedudukan sendiri dianggap sebagai kemampuan mentadbir?
Sebelum itu, Oktober 1987, Mahathir juga menangkap 119 aktivis dan ahli politik di bawah undang-undang tanpa bicara ISA dalam Operasi Lalang. Dua akhbar bebas ketika itu - The Star dan Watan juga diharamkan.
Selepas itu, ISA terus digunakan Mahathr untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik pemerintahannya. Tidak perlu jadi saitis roket untuk menyatakan cara kekuasaan kuku besi ketika krisis bukanlah ciri-ciri seorang pemimpin yang bagus untuk negara. Semua diktator di dunia menggunakan cara ini untuk mengekalkan kuasa
Dalam usahanya untuk menyingkirkan Anwar pada tahun 1998, Mahathir turut menyeret semua institusi negara untuk terlibat ke dalamnya. Jabatan Peguam Negara, hakim-hakim, polis, institusi pendidikan dan hampir kesemua jabatan kerajaan dikerah.
Akhirnya institusi-institusi yang dulunya sangat bebas dan berwibawa bertukar menjadi lemah dan kehilangan jati diri. Ia menyebabkan mesyarakat turut menjadi lemah.
Beri Anwar peluang jadi PM |
ZUNAR, atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ul-Haque, adalah seorang kartunis yang menerima anugerah antarabangsa keamanan 2016.
Artikel ini asalnya hantaran penulis di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendiriran rasmi Kartelmedia.
0 Comments