AHLI PARLIMEN Gelang Patah Lim Kit Siang menyifatkan sindiran Duta Khas Perdana Menteri Ke China, Tiong King Siang terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai satu serangan bersifat “jahat dan peribadi”.
Dalam satu kenyataan, Lim mempersoalkan jika ada motif berselindung di sebalik serangan ahli Parlimen Bintulu itu terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“King Sing jelas sekali berasa iri hati dengan 'sidang media harian' Noor Hisham. Adakah dia (King Sing) bercakap bagi pihak diri sendiri atau orang lain?' soalnya.
Lim merujuk kritikan Ahli Parlimen dari Sarawak itu berhubung pengurusan wabak Covid-19, yang antara lain mendakwa Noor Hisham “takut mati” kerana tidak turun padang dan sindirian kononnya Dr Noor Hisham menyimpan cita-cita untuk menjadi setiausaha agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Saya akan menganggap sebagai satu penghormatan besar kepada Malaysia jika seorang rakyat warga seperti Noor Hisham dilantik sebagai setiausaha agung WHO. Jelaslah terdapat manusia yang berfikiran sempit yang memikirkan sebaliknya.
“Sepatutnya, Tiong King Sing yang dibuang daripada jawatan duta khas perdana menteri ke China kerana kesilapan besar di Parlimen pada Rabu lalu, yang merupakan satu serangan bukan sahaja kepada Noor Hisham tetapi kepada semua petugas barisan hadapan yang berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya lagi.
Lim persoal tindakan King Sing |
“Mengapa dia tidak menyalahkan perdana menteri yang bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap pengendalian wabak Covid-19 dalam negara, memandangkan dia adalah pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam kenyataan serupa, Lim berkata, tiada pilihan lain yang lebih bermaruah buat King Sing selain memohon maaf di dalam Parlimen atas kenyataan dilemparkannya terhadap Dr Noor Hisham.
0 Comments