Tun M mahu halang HARAPAN kembali berkuasa - Shamsul


BEKAS
perdana menteri Dr Mahathir Mohamad didakwa cuba menghalang Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dipimpin DatuK Seri Anwar Ibrahim dari kembali berkuasa.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Shamsul Iskandar Md Akin berkata begitu selepas Dr Mahathir secara terbuka mendakwa Anwar Ibrahim tidak mampu memimpin negara ini yang sedang berhadapan krisis ekonomi.

"Serangan beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) mendapatkan semula kerajaan.

"Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terkini menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana," katanya.

Tambah bekas Timbalan Menteri Industri Utama itu lagi, ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini disebabkan tindakan bekas Presiden Parti Bersatu itu sendiri.

Shamsul mengulas tindakan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri yang sekaligus digunakan Muhyiddin dan sekutunya untuk mengambil alih pentadbiran negara dari kerajaan dipilih rakyat.

"Tun Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.

"Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu," katanya.

"Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Datuk Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya ," kata Shamsul.

Anwar merupakan calon pilihan pertama sebagai perdana menteri sekiranya HARAPAN kembali berkuasa.

Bagaimanapun, Dr Mahathir sebelum ini menuntut jawatan itu semula untuk tempoh 6 bulan lagi. Tuntutan Mahathir itu tidak dipersetujui Anwar dan partinya.

Mahathir kemudian menamakan Presiden parti Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Mahathir dilantik kali kedua sebagai perdana menteri setelah HARAPAN memenangi pilihan raya umum 2018 dengan janji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar gagal menunaikan janji yang dibuatnya kepada HARAPAN dan rakyat di negara ini.

Anwar Menteri Kewangan Terbaik


Sebagai rekod, Malaysia dikenali sebagai 'Harimau Asia' ketika Anwar menjawat jawatan Menteri Kewangan.
 
Pada tahun 1993 Anwar mendapat pengiktirafan dari Euro Money Magazine sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia, manakala pada 1996 Anwar Ibrahim mendapat pengiktirafan dari Asia Money Magazine sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia.

Pada tahun 1998 Anwar Ibrahim, sebagai Menteri Kewangan Malaysia pertama mendapat pengiktirafan dari Asia Weeks Magazine sebagai ‘ The Asian of the year.’

Selama 8 tahun berturut-turut, Anwar berjaya membawa pertumbuhan ( Growth ) Ekonomi Malaysia berada pada kadar 7- 9 %.

Atas ketokohannya juga, Anwar dilantik sebagai ‘Pengerusi bahagian pembangunan ‘ di Bank Dunia pada tahun 1995.

Anwar diiktiraf sebagai yang terbaik
Sementara itu, Shamsul ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu adalah individu yang gagal mempertahankan agenda reformasi dan mandat rakyat sepanjang 22 bulan menjadi perdana menteri.

“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Mahathir sebagai perdana menteri dalam mempertahankan agenda reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan HARAPAN memerintah negara,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments