PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan menteri kewangan bahawa kerajaan tidak akan dapat membayar gaji penjawat awam dan menjejaskan petugas barisan hadapan sekiranya belanjawan tidak diluluskan.
Dalam satu kenyataan, Anwar yang juga bekas menteri Kewangan pada era 90-an menyifatkan kenyataan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu sebagai tidak bertanggungjawab dan “berbaur ugutan”.
“Menteri Kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional tidak diluluskan, maka ia tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan akan mengesankan para petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19.
“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli parlimen.
“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin Yassin kini mengharapkan Belanjawan yang dibentangkan minggu lalu mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di parlimen minggu lalu, Anwar berkata belanjawan itu belum pasti diluluskan dengan “cara mudah” setelah dilihat mempunyai unjuran tidak realistik dan tidak munasabah, seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan perkembangan domestik yang disifatkan terlalu tinggi.
Ahli Parlimen termasuk sebahagian penyokong kerajaan mempertikaikan beberapa perkara dalam Belanjawan itu, ia termasuk peruntukan RM85.5 juta bagi menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dikaitkan sebagai agensi propaganda kerajaan.
“Kita (pembangkang) hanya akan sokong belanjawan berhubung Covid-19 dan bukan hal lain,” tegas Anwar dalam sesi perbahasannya.
Anwar bidas kenyataan Tengku Zafrul |
Sementara Anwar kenyataannya hari ini menegaskan sekali lagi bahawa soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus terutamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.
“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya lagi.
0 Comments