PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa wang rakyat mahu digunakan untuk tujuan propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Tegasnya, agensi itu merupakan satu kegagalan besar meskipun jutaan ringgit telah dibelanjakan dan terbukti apabila Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.
“Persoalannya sekarang; mengapa wang rakyat Malaysia digunakan oleh JASA untuk menyebarkan pembohongan dan kepalsuan?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim memberikan respons terhadap dakwaan ahli majlis tertinggi Umno dan bekas ketua pengarah Jasa, Mohd Puad Zarkashi, bahawa DAP “takut” dengan agensi yang bakal dihidupkan semula itu.
Bagi Lim, Puad melakukan "kesilapan besar” apabila menyifatkan DAP “takut” akan Jasa.
“Mengapa Jasa yang pernah diterajui Puad ini harus ditakuti sedangkan ia adalah sebuah kegagalan besar?
"Jika tidak sudah tentu Najib Razak masih kekal menjadi perdana menteri Malaysia hari ini dan tidak akan disabitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram,” katanya.
Memetik laporan Malaysiakini, Jasa merupakan agensi kerajaan yang bersifat rahsia, berakar umbi sejak 1960-an, ketika ia dikenali sebagai Cawangan Hal Ehwal Khas (Chek) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan, kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, Jasa mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada Januari 2020.
Bagaimanapun, Jasa dipercayai menggaji kakitangan kontrak dengan elaun bulanan RM900 bagi memantau 222 kawasan parlimen dan 576 kawasan DUN, menjadikan bilangan kakitangan bergaji seramai lebih 1,000 orang.
Isu mengenai Jasa menjadi perbualan hangat dikalangan warganet, ramai mempersoalkan tindakan pentadbiran Muhyiddin Yassin cuba menghidupkan semula agensi itu dengan peruntukan RM85.5 juta bagi tahun 2021.
Jasa berjaya tanam sentimen anti-DAP |
0 Comments