Alasan Larry dan Steven lucu, tindakan mahkamah bakal dibincangkan


AHLI PARLIMEN
Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengecam tindakan dua Ahli Parlimen KEADILAN yang beralih sokongan kepada Muhyiddin Yassin.

Dipetik laporan media, Ramkarpal menegaskan tindakan itu tidak akan mampu menstabilkan mana-mana kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan lemah seperti Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut alasan diberikan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon bahawa keputusan menyokong Muhyiddin bakal memudahkan mereka membantu rakyat di kawasan mereka Ramkarpal menyifatkannya sebagai alasan yang sangat melucukan.

"Saya berkata demikian kerana hanya segelintir dalam Pakatan Harapan menjangka menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

"Dengan kata lain, wakil-wakil ini mengharapkan kemungkinan sebenarnya berada di pembangkang setelah PRU ke-14 tanpa dana kerajaan untuk kawasan masing-masing, termasuk saya.

"Tidak pernah timbul isu dana untuk kawasan parlimen itu tetapi lebih kepada tujuan mewujudkan Malaysia yang lebih baik. Malaysia yang bebas dari rasuah, Malaysia yang bebas dari politik perlindungan, Malaysia yang bebas dari kleptokrat, antara lain, ” katanya dipetik.

Semalam, Larry Sng dan Steven mengumumkan sokongan mereka kepada PN, ia tidak lama selepas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan ada usaha 'mencuri' Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Muhyiddin yang sebelum ini didakwa telah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Saifuddin lewat petang semalam turut memberitahu bahawa parti itu telah memecat kedua-dua mereka sebagai ahli parti itu berkuatkuasa serta merta dan sedang berbincang bagaimana tindakan mahkamah akan diambil terhadap kedua Ahli Parlimen yang telah bertanding di atas tiket KEADILAN telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti.

 KEADILAN mohon maaf kepada pengundi
"Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket Keadilan tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti.

"KEADILAN juga memohon maaf kepada para pengundi di Julau dan Tebrau di atas sikap dua ahli parlimen yang telah membuat tindakan keluar parti hari ini," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments