SAYAP pemuda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri Sabah menafikan dakwaan 'ribuan' ahli parti itu meninggalkan parti tersebut pada Jumaat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin melalui satu kenyataan media berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan itu susulan satu sidang media oleh 11 individu yang mendakwa pemimpin parti itu.
Menurut sidang diketuai Nani Sakam itu disifatkan lucu dan hanya retorik politik semata-mata.
Nani Sakam didakwa sudahpun bertindak keluar parti sejak April tahun 2019.
"Untuk makluman, Nani Sakam yang mengetuai majlis tadi (Jumaat) telahpun keluar parti pada 22 April 2019, iaitu dua tahun lalu bersama mendiang Adris Taripin, mantan Ketua Cabang Tenom.
"Mereka menyatakan 75 peratus anggota KEADILAN di Sabah akan turut keluar parti bersama mereka namun apa yang berlaku hanya 11 orang yang sah meninggalkan parti," katanya Razeef.
Pada Jumaat, Nani mendakwa tindakan 'mereka' keluar parti susulan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan negeri, ChrisDatuk Christina Liew.
Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan tindakan keluar parti itu kepada Ketua Cabang PKR Putatan yang juga Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.
"Kami ambil keputusan keluar parti dengan kerelaan hati sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak," kata Nani.
Sementara itu, Razeef menegaskan KEADILAN di Sabah masih kukuh dengan jumlah keanggotaan seramai 170,000 dan mendakwa jumlah itu semakin meningkat setiap hari.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengakui tidak terkejut dengan tindakan Nani.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut sama menegaskan bahawa Nani keluar parti pada tahun lalu dengan mendakwa akan membawa keluar 75 peratus daripada ahli KEADILAN di Sabah.
Dengan tindakan terbaharu itu, Fahmi menyifatkan apa yang disebut-sebut Nani untuk membawa sejumlah besar penyokong parti itu keluar parti tidak lebih hanyalah ‘cakap besar’ sahaja.
0 Comments