Pemecatan bekas pemimpin KEADILAN S'wak tak jejas parti - Abun


PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri Sarawak tidak akan terjejas dengan tindakan beberapa bekas pemimpinnya yang dipecat atau mengumumkan keluar parti.

Demikian kata ketua penerangan dan komunikasi KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit sebagai mengulas situasi politik di negeri itu.

"Keadaan itu tidak menghairankan dan tidak akan menggugat keutuhan Keadilan (KEADILAN) Sarawak kerana merupakan proses biasa yang berlaku apabila terdapat mereka yang tidak lagi dapat mengikut garis panduan dan disiplin yang ditentukan oleh perlembagaan dan kepimpinan utama parti," katanya dalam satu kenyataan.

Abun sementara itu turut membidas beberapa tuduhan berkait urusan parti di negeri itu yang menurutnya sebagai kenyataan tidak berasas.

Perjalanan parti itu di Sarawak tegasnya dibuat sendiri pemimpin negeri secara autonomi dan bukan diputuskan oleh KEADILAN pusat.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Larry Sng sebagai Pengerusi negeri dibuat secara terus oleh keluarga Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim.

"Sebenarnya pelantikan dibuat berdasarkan perlembagaan parti di mana Datuk Seri Anwar sebagai presiden telah berunding dengan ketua- ketua cabang yang hadir mesyuarat pada 8 Mac sebelum melantik calon yang mendapat undi terbanyak.

"Kepimpinan utama MPN (Majlis pimpinan negeri) Sarawak sebelum ini yang telah khianat kepada parti telah diberi ruang seluas-luasnya untuk memimpin tanpa diganggu oleh pemimpin pusat untuk membuat keputusan bagi pihak Keadilan Sarawak," tegasnya.

KEADILAN sebelum ini dilapor mengambil tindakan terhadap pemimpin parti dan ahlinya yang didakwa bersekongkol dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali.

Mereka yang dipecat termasuk Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian; Anggota Parlimen Saratok Ali Biju; Anggota Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Adun Batu Lintang, See Chee How.

Pemecatan itu kemudiannya mendorong beberapa individu lain bertindak keluar parti.

Sementara itu, Abun berkata penyingkiran beberapa pemimpin dan anggota partinya itu baru-baru ini adalah kerana melanggar disiplin dan bukan kerana terdapat perbezaan pendapat dalam parti.
 

Post a Comment

0 Comments