KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang disertai Umno dan PAS digesa menjelaskan dan membuat siasatan segera berhubung laporan media Israel, Calcalist yang mendedahkan bahawa rejim Najib Razak telah menjalankan transaksi komersial bernilai US$1.5 juta (RM6 juta) dengan syarikat Israel Senpai Technologies Ltd.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, skandal ini adalah satu isu yang sangat membimbangkan kerana terdapat dua kesalahan besar yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu hubungan dengan entiti Israel dan tindakan mengintip aktivis dan ahli politik pembangkang.
Tindakan intipan ini tegasnya bertentangan dengan prinsip demokrasi dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Laporan media Israel, Calcalist, pada 28 Mei 2020 mendedahkan bahawa rejim Najib Razak pada April 2018 telah menjalankan transaksi komersial bernilai US$1.5 juta (RM6 juta) dengan syarikat Israel Senpai Technologies Ltd.
“Merujuk dokumen yang difailkan di mahkamah, Calcalist melaporkan bahawa Kerajaan BN telah membeli perisian pengintipan (spyware) daripada Senpai untuk digunakan oleh Special Branch Polis Diraja Malaysia bagi mengintip aktivis dan ahli politik pembangkang.
“Ini jelas bertentangan dengan dasar Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, yang sering menindas Palestin untuk berdekad lamanya.
“Ini juga bercanggah dengan kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang menentang sebarang transaksi komersial dengan mana-mana entiti berkaitan Israel,” kata Adun Permatang Pasir itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ia bukan kali pertama nama Najib dikaitkan dengan Israel.
10 tahun lepas jelasnya, pemerintahan Najib telah bekerjasama dengan firma perunding perhubungan APCO Worldwide yang terlibat dengan “Jewish lobby” ataupun agenda lobi Yahudi di Amerika Syarikat.
“Selain skandal APCO, kerajaan BN pimpinan Najib terus dilihat lebih terbuka kepada Israel apabila pada awal tahun 2018 sebelum PRU-14, buat kali pertama dibenarkan kemasukan diplomat Israel secara rasmi ke dalam Malaysia.
“Sebelum itu pada Oktober 2015, Najib telah berjabat tangan secara mesra dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
“Pas ketika itu telah menyelar tindakan Najib sebagai “pengkhianatan” terhadap umat Islam seluruh dunia.
“Ironinya, Pas kini bersekongkol dengan Najib dalam gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN). Pas sanggup melupakan kesalahan besar Najib ini demi kepentingan politik,” katanya lagi.
Sebagai rekod pada Jun 2009-July 2010, kerajaan BN dilapor telah membayar US$24.2 juta (RM76.8 juta) kepada APCO untuk kontrak “perundingan perhubungan kerajaan” sepertimana yang didedahkan di Parlimen oleh Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Firma itu diketuai Paul Stadlen, yang pernah dilantik menjadi penasihat media Najib, kata Faiz
Pada tahun 2019, Paul Stadlen telah didakwa SPRM untuk kesalahan pengubahan wang haram, tetapi telah melarikan diri.
“Tindakan Najib selama pemerintahan beliau ini bertentangan dengan sensitiviti rakyat Malaysia terutama umat Islam yang menolak sama sekali sebarang hubungan diplomatik dan komersial dengan Israel serta menunjukkan sikap tidak prihatin Umno terhadap keganasan Israel ke atas Palestin,” tambah Faiz.
0 Comments