Covid-19: Indonesia dan Singapura meningkat, Thailand kurang


KES jangkitan Covid-19 di negara jiran Indonesia semakin membimbangkan dengan angka terkini individu positif wabak itu melepasi angka 17, 000 orang.

Pada Jumaat, sebanyak 13 kes kematian telah dilaporkan, jurucakap pemerintah Indonesia, Achmad Yurianto berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kini sebanyak 1,089 orang.

Daerah Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 460 kes, diikuti Jawa Timur (183 kes), Jawa Barat (100) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Manakala di Singapura pula, angka terkini individu dijangkiti koronavirus di republik itu  meningkat melebihi 27,000 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), majoriti dijangkiti Covid-19 di negara itu adalah dikalangan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut Kementerian itu, mereka masih sedang mendapatkan butiran kes terbabit, dan memaklumkan peningkatan kes itu berlaku kerana ujian berterusan sedang dijalankan di premis-premis asrama.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses kami untuk menguji dan memastikan status kesemua pekerja,” kata MOH dalam kenyataan itu, seperti dipetik Bernama.

Pada Jumaat, Singapura mengenal pasti lima kluster baru dan pada masa yang sama menutup dua kluster sedia ada, iaitu McDonald dan kawasan kerja pengubahsuaian di National Univerisiti Hospital.

Setakat ini, Singapura mencatatkan 1,327 kes komuniti, 580 kes import, 435 kes melibatkan pekerja asing di luar asrama dan 24,549 kes melibatkan pekerja asing di asrama pekerja, manakala 1,124 kes masih dirawat, 21 angka kematian, serta 7,248 kes pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, Thailand menunjukan kejayaan dalam membendung penularan wabak itu.

Negara Gajah Putih itu mencatatkan sifar kes baru dan sifar kematian Covid-19 pada semalam, menjadikan jumlah kes kekal pada angka 3,025 kes dengan 56 angka kematian.

“Saya berharap tiada kes baharu dan kematian, dalam tempoh lebih lama atau sekurang-kurangnya satu angka kes baharu memandangkan fasa kedua dengan pelonggaran sekatan akan bermula esok,” kataJurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin.

Daripada 3,025 kes, seramai 2,855 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 114 masih lagi menerima rawatan di negara itu.

Post a Comment

0 Comments