Bekas menteri mahu cabar kerajaan PN


BEKAS
menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ia menurutnya berhubung tindakan PN menafikan hak rakyat untuk mengetahui sama ada Ahli parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin dapat cukup sokongan majoriti di Parlimen atau tidak.

"Sekiranya Pagoh mempunyai sokongan majoriti, maka dia dapat terus membentangkan Rang Undang-undang dan urusan lain.

"Jika tidak, dia tidak dapat memberitahu dunia bahawa dia perdana menteri Malaysia. Dia harus membuktikannya di Dewan Rakyat terlebih dahulu," kata Liew sambil mengulas keputusan kerajaan PN menjalankan sidang Dewan Rakyat selama sehari yang hanya untuk titah diraja Yang di-Pertuan Agong esok.

Tambah Ahli Parlimen Batu Sapi itu lagi, kerajaan PN kini berisiko melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama lebih daripada enam bulan. Sidang terakhir diadakan pada Disember tahun lalu.

"Sekarang persoalannya, pada 18 Mei, hanya akan ada titah diraja. Bahagian kedua sidang akan diadakan pada bulan Julai.

"Ini bermaksud sidang dilakukan secara berperingkat, bermulai Mei dan disambung semula pada Julai.

"Bolehkah mereka melangkaui tempoh enam bulan?" soal dipetik laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen wajib bersidang dalam tempoh enam bulan selepas sesi Parlimen terakhir.

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan, manakala Liew juga telah menghantar usul agar ia dibuat selama lapan hari. PN bagaimanapun menolaknya atas dasar ia mendedahkan risiko penularan Covid-19 di kalangan anggota Parlimen.

Sambil menolak alasan diberikan itu, Liew menegaskan bahawa sidang parlimen penting bagi meluluskan undang-undang berkaitan wabak Covid-19.

"Apakah (takrifan) penjarakan sosial di Malaysia? Tidak ada undang-undang untuk menjelaskannya.

"Di Singapura, mereka sudah meluluskan undang-undang untuk menakrifkan apa itu penjarakan sosial.

“Jika tidak ada undang-undang berkenaan penjarakan sosial, bagaimana anda boleh meminta polis menahan orang ramai kerana tidak mematuhinya? Anda tidak boleh berbuat demikian," katanya sambil mempersoalkan kesalahan PKP selepas mendapati Covid-19 tidak disenaraikan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit secara rasmi.

“Saya telah periksa Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, tidak jelas sama ada mereka telah takrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.

"Saya telah semak laman web Jabatan Peguam Negara sama ada mereka telah mewartakannya atau tidak, tapi tidak ada," tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments