BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan bersetuju melepaskan anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz melalui satu bentuk persetujuan bersyarat seperti didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Melalui satu kenyataan, Tommy membuat penjelasan terperinci tentang garis masa kes tersebut.
"SPRM menyebut 'Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas'. Ia adalah satu pembohongan," tegasnya.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan mahkamah itu.
Agensi pencegahan rasuah itu berkata jumlah wang yang dikembalikan itu adalah persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh dan ia adalah pelepasan bersyarat.
Persetujuan itu kata SPRM dicapai melalui representasi di mahkamah yang kononnya dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.
Bagaimanapun Tommy mendakwa, satu-satunya keputusan beliau dalam kes terhadap Riza adalah melantik bekas hakim, Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dan tiada kaitan dengan keputusan representasi dikemuka pihak Riza pada 18 November lalu sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari.
Menurutnya, keputusan mahkamah menerima representasi Riza yang membawa kepada keputusan melepas tanpa membebaskan itu dibuat antara 2 April hingga 14 Mei lalu yang mana beliau bukan lagi Peguam Negara.
Riza dan 5 pertuduhan pengubahan wang haram
Riza, 43, penerbit filem The Wolf of Wall Street sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.
Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.
Anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu itu dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober, 2012 di tempat sama.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.
Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November, 2012.