PRK Chini: SPR perlu tetapkan SOP kempen


KEPUTUSAN
sama ada Pakatan Harapan (HARAPAN) akan meletak calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pendirian itu dinyatakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pahang, Fuziah Salleh dipetik satu laporan media semalam.

“HARAPAN Pahang akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

Pilihan Raya DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan pesaing terdekatnya.

Sebagai rekod, DUN Chini berada di bawah kawasan Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak. Ia boleh dianggap sebagai kubu kuat kepada Umno.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat mengumumkan PRK Chini akan berlangsung pada 4 Julai di mana hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun

Hari mengundi awal pada 30 Jun dengan tempoh masa berkempen selama 14 hari.

Sementara itu,  Fuziah turut menggesa  SPR mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang jelas susulan PRK itu dijalankan ketika wabak koronavirus Covib-19 masih menular.

“Ini kerana 2 hari lalu terdapat kes positif Covid-19 di Chini.

“PRK kali ini bukan PRK biasa, tidak cukup setakat mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

“Yang paling penting ialah SOP sepanjang tempoh berkempen kerana petugas kita berdepan dengan risiko,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments