Oleh: MOHSIN ABDULLAH | Oleh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat hanya pada Khamis ini (20 Okt) untuk tentukan tarikh penting pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sekaligus ramalan sesetengah pihak kononnya penamaan calon akan diadakan sebelum perayaan Deepavali meleset. Tarikh perayaan itu ialah 24 Okt ini.
Ada rakan membuat ramalan penamaan calon akan diadakan bulan ini (Oktober) dan hari mengundi pada November. Disebutnya tarikh-tarikh yang diramal. Saya tidak bercadang “mengumumkan” tarikh-tarikh berkenaan kerana ia cuma ramalan ketika berborak-borak kosong, sekadar suka-suka.
Tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) membuat ramalan rasmi. Bukan suka-suka, bukan main-main. Ini perkara serius. Di Hungary umpamanya dilaporkan kerajaan memecat ketua perkhidmatan ramalan cuaca negara dan timbalannya kerana membuat ramalan tidak tepat.
MetMalaysia meramalkan cuaca dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada November, di mana risiko berlaku hujan lebat dan banjir besar tinggi.
Namun ramalan yang boleh disifatkan juga sebagai amaran seakan tidak dihirau atau diambil kira. Lantas Umno mencapai hasratnya, Parlimen bubar bagi PRU15 diadakan segera. Walaupun ada risiko banjir besar. Mungkin mereka terangsang kerana secara terperincinya ramalan MetMalaysia seperti berikut: “Negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan”. Tarikh secara spesifik tidak disebut.
M Saravanan, timbalan presiden MIC, rakan Umno dalam BN, pantas menegaskan, “kita lihat MetMalaysia kata mungkin banjir lepas 15 Nov hingga Januari. Kalau esok lusa Parlimen bubar, pilihan raya diadakan sebelum minggu pertama atau kedua November, kita masih selamat, tiada masalah”. Begitu beliau dipetik berkata oleh Malaysiakini pada 5 Okt, yakni lima hari sebelum Parlimen bubar.
Saravanan bagaimanapun tidak bercakap mengenai hujan pada bulan ini (Oktober) dan kejadian “flash flood” di beberapa tempat. Walaupun bukan banjir skala besar tetapi banjir tetap banjir, mangsa banjir tetap sengsara.
Rakan Saravanan, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, “yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan polis dan Rela, yang terlibat hanya orang poltik”. Tidak perlu komen kenyataan seperti ini.
Apa pun menurut menteri dalam negeri (caretaker) Hamzah Zainudin, polis akan mengalami kekangan dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir sekiranya kekuatan anggota perlu diatur bagi penugasan PRU15. Kata beliau, kekangan berkenaan disebabkan penugasan anggota perlu dibuat selaras dengan Akta SPR. Walaupun Hamzah bercakap mengenai polis, kita tahu masalah itu juga membabitkan semua anggota agensi lain.
Yang ingin saya sampaikan disini ialah betapa Umno mahu pilihan raya segara. Mengapa segara? Tentulah kerana Umno amat yakin akan menang. Jika tidak, masakan mahu pilihan raya sekarang – tak kira banjir atau apa pun.
Lihat apa kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan setelah PAS memutuskan mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (bukan Umno-BN) dalam menghadapi PRU15. Kata beliau, Umno sebenarnya sudah bersedia bergerak tanpa PAS pada pilihan raya mendatang ini dengan melihat kepada kemenangan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
Bagi para penganalisis dan penyelidik, PRN tidak boleh disamakan dengan pilihan raya umum. Apa pun, apa yang dimaksudkan Ahmad adalah PAS tidak bersama “no problem” walaupun berkata beliau bukan mendabik dada. Hakikatnya, Umno “very confident” menang meskipun ada penganalisis politik berpendapat peluang Umno menang lebih baik jika berganding dengan PAS.
Ada juga penganalisis berkata, Umno-BN boleh bertanding secara solo tetapi sukar dapat majoriti mudah atau menang sekurang-kurang 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan tanpa kerjasama parti lain terutama dari Sabah dan Sarawak. Itu ramalan atau pandangan yang agak lembut kerana ada pemerhati politik yang berpendapat Umno tidak akan menang. Ada pemerhati dan penganalisis percaya meskipun menonjolkan imej semua OK, keadaan Umno sebenar adalah sebaliknya.
Umno dan sekutunya dalam BN dilihat kembali mengulangi kesilapan sama yang mengakibatkan gabungan itu tumpas pada PRU14. Itu kata-kata Romen Bose, bekas perunding komunikasi Najib Razak sendiri ketika bercakap kepada FMT tempoh hari. Kata beliau, orang dan kumpulan sama yang bertanggungjawab terhadap penjenamaan dan strategi pilihan raya yang membawa kepada kekalahan BN kembali melakukan perkara yang sama.
“Segelintir ahli politik lapuk masih mempunyai kepercayaan peribadi bahawa media sosial sekadar gembar-gembur dan yakin pertemuan dengan akar umbi, menganjur makan malam, dan memberi bantuan sudah cukup untuk memenangi sanubari dan minda pengundi,” kata Bose.
Namun Umno diketahui umum ada pasukan “pakar” media sosial dan kumpulan “wira” sibernya yang ramai. Sama ada mereka berkesan dan melakukan tugas dengan baik waullahualam, tetapi aktiviti bertemu akar umbi, menganjur makan malam, dan menghulur bantuan pasti akan dijalankan Umno sekali lagi untuk meraih undi.
Selain masalah yang dihuraikan Bose, tidak dinafikan Umno tidak bersatu. Ada tim presiden ada jua tim yang tidak sehaluan dengan presiden. Boleh dijangkakan keadaan akan bertambah rumit apabila Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti memilih dan menyerah watikah kepada calon Umno bagi pilihan raya ini.
Tidak dinafikan juga keputusan PAS untuk tidak bersama Umno dirasai. Tidak kiralah apa yang dilaungkan pemimpin Umno kepada umum secara terbuka. Tuduhan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dilempar kepada Umno sememangnya menggigit.
Walaupun memikul semua masalah yang disebut, Umno tetap yakin menang PRU15. Keyakinan atau “confidence” memang bagus dalam menghadapi pilihan raya, malah diperlukan. Jika tidak yakin menang, buat apa bertanding, betul tak?Apa motif buat PRU musim tengkujuh?
Tetapi Umno nampak teramat yakin bukan sekadar yakin biasa, berdasarkan kata-kata dan tingkah laku para pemimpinnya. Apa agaknya strategi mereka? Mungkinkah ada senjata sulit?
MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Artikel ini adalah pandangan penulis yang disalin dari siaran asal di portal FMT
0 Comments