Pegawai kementerian perlu terbuka dengar teguran - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik karenah birokrasi dalam jabatan kerajaan di negara ini.

Menyentuh isu dibangkitkan seorang guru baru-baru ini bahawa dia diberikan surat amaran hanya kerana menyuarakan pendapatnya mengenai silibus matematik yang didakwanya “terlalu tinggi”, Anwar berkata adalah tidak munasabah bagi sistem pendidikan tidak mengambil kira pandangan ibu bapa dan lebih penting ialah guru.

“Sekiranya masih ada mentaliti angkuh, seperti yang ada di kalangan sesetengah kepimpinan kita, di mana guru tidak dibenarkan bersuara, kebebasan berfikir akan dikekang,” kata bekas menteri pendidikan itu dalam satu hantaran video di Facebook.

Pada Ahad, Fadli Salleh, yang merupakan seorang guru matematik di SK (1) Gombak mempersoalkan kewajaran kementerian yang mahu memecatnya, sedangkan dia membangkitkan perkara sebenar terhadap di sekolah rendah.

“Kenapa Kementerian Pendidikan mahu memecat saya? Adakah kerana saya bercakap benar? Mereka tidak dapat menangani kebenaran. Mereka hanya mahu mendengar sanjungan dan pujian.

“Saya hanya bercakap secara jujur. Silibus terlalu padat dan tinggi. Terlalu ramai pelajar dalam setiap kelas dan mereka perlu mempelajari banyak mata pelajaran lain, jadi masa yang dihabiskan untuk mata pelajaran teras, seperti matematik, adalah terlalu pendek," katanya.

Walau bagaimanapun pada Isnin, selepas Fadli mendapat sokongan ramai, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan bahawa dia tidak melanggar mana-mana peraturan, dan tidak akan menghadapi sebarang tindakan tatatertib kerana menyiarkan rungutannya di media sosial.

Perlu bersikap terbuka terima teguran
Kesemua pertuduhan terhadapnya juga telah digugurkan.

Sementara itu Anwar berkata sistem pentadbiran negara perlu diubah supaya bersifat lebih terbuka terhadap isu-isu dibangkitkan dan ia tidak boleh dibiarkan seperti sekarang.  

“Apa kelemahan kita? Kita tidak boleh mendengar. Tidak boleh mendengar teguran atau perspektif kritikal,” katanya sambil menegaskan sekiranya perubahan kepimpinan berlaku kelak, sistem “keliru” itu perlu segera diubah.

Post a Comment

0 Comments