Ismail jangan sekadar bentang 'bajet pilihan raya'



BELANJAWAN 2023 yang dijadualkan akan dibentangkan Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober ini seharusnya menjadi ‘Bajet Rakyat’ dan bukannya ‘Bajet Pilihan Raya’.

“Kita tidak mahu berulang sekali lagi bajet lapuk sepertimana yang telah berlaku pada tahun 1999 apabila bajet yang telah direncanakan untuk dibentang, dibahas dan diimplementasikan tidak menjadi realiti.

” Wang dibazirkan begitu sahaja termasuklah kos yang telah digunakan dalam persiapan seperti penyediaan bajet, mencetak, elaun kepada Ahli Parlimen dan pelbagai kos membabitkan pembentangan bajet tersebut.

” Pembaziran ini seharusnya diberi perhatian kerana ia melibatkan wang dan dana yang tidak harus dibazirkan dengan sia-sia tanpa direalisasikan bajet yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negara ini,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dipetik laporan media.

Naib Presiden Amanah itu turut mengingatkan Ismail bahawa ruang harus diberikan supaya bajet tersebut mendapat sokongan Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

Beliau tidak mahu belanjawan yang dibentangkan itu akhirnya menjadi bajet separuh jalan yang tidak dibahasa dan hanya menjadi alat menarik sokongan semata-mata.

"Sekiranya ia berlaku, ia adalah suatu yang memalukan serta mengulangi kegagalan lapuk pada tahun 1999 yang telah merugikan masa, wang dan nasib rakyat yang mengharapkan nasib mereka diberi pembelaan.

Bajet perlu diluluskan sebelum jalankan PRU
"Pembentangan bajet 2023 perlu diselesaikan sepenuhnya termasuklah dibahas dan mendapat sokongan terlebih dahulu serta lebih baik seandainya ia dapat diimplementasikan serta dilaksanakan kerana tempoh penggal kerajaan sedia ada masih berbaki sehingga tahun hadapan," jelasnya.

Hanya dengan cara itu katanya rakyat akan berpeluang membuat justifikasi untuk meneruskan mandat atau sebaliknya menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang.

Post a Comment

0 Comments