Skandal LCS, Rafizi gesa Hishammuddin bersikap jujur


TIMBALAN PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mahu Hishammuddin Hussein bersikap jujur dengan mendedahkan perkara sebenar sebalik projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi.

Rafizi mendakwa, kenyataan Menteri Pertahanan itu berhubung isu kapal itu bercanggah dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang.

Oleh itu beliau ingin mendapatkan maklumat tentang berapa banyak kapal yang akan siap dan diserahkan kepada kerajaan, jadual penghantaran dan kos keseluruhan.

“Sehingga ini, rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

“Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam “satu atau dua tahun” dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

“Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera,” katanya pada satu kenyataan.

Affendi Buang dipetik laporan media sebelum ini berkata, dua LCS terawal akan diterima pada bulan Januari dan September 2026.

“Kapal seterusnya dijangka diterima pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028," katanya dipetik.

Rafizi sementara itu berkata, maklumat bercanggah di antara Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menimbulkan beberapa persoalan besar yang belum dijawab.

Pandangan individu-individu yang terbabit dengan projek LCS yang disampaikan kepada saya sebelum ini merumuskan beberapa perkara yang wajar dibawa kepada perhatian rakyat

"Dengan jumlah yang telah dibelanjakan (melebihi RM6 bilion dari kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan) berbanding kemajuan projek setakat ini, baki peruntukan adalah tidak mencukupi untuk menyiapkan kapal-kapal ini

"Berdasarkan pengumuman Hishamuddin sebelum ini yang kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion, mereka menganggarkan hanya dua (2) kapal LCS yang boleh disiapkan dengan jumlah tersebut

“Sebab itu, saya menyeru supaya Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS setakat ini. Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS?' soalnya.

Dalam kenyataan itu juga, Rafizi melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan projek itu.

Angkatan tentera negara ini bukan sahaja mundur berbanding negara serantau berikutan kelewatan projek itu, malah lebih malang ia direka dan dibina menggunakan teknologi yang telah ketinggalan selama sedekad.

“Adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera kita berbanding dengan negara serantau.

"Walaupun UMNO, BERSATU dan sekutunya PAS berharap isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) akan senyap begitu sahaja, ada banyak perkara yang akan terus timbul kerana ia bersabit pertimbangan strategik pertahanan negara.

Banyak persoalan belum terjawab
"Saya percaya kesedaran rakyat mengenai skandal ini memberi tumpuan kepada perkara-perkara strategik berhubung pertahanan negara.

“Kita sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments