PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kini dilihat berpendirian lebih tegas terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana bekas perdana menteri itu tidak pernah insaf.
Bercakap dalam program Sembang Kencang anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor pada Rabu, Anwar berkata beliau sudah memberi peluang kepada Mahathir, namun peluang itu disia-siakan.
“Mahathir kalau dia hentam saya sepuluh kali, saya jawab sekali. Sekarang saya akan tegas sikit kerana kawan ini, dia (Mahathir) tidak pernah nak insaf,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengimbau pemenjaraanya pada lewat tahun 90-an yang membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terhadap Mahathir.
Jelasnya rasa marah itu seketika apabila Mahathir bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Ketika itu, katanya, semua bersetuju menamakan Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi dengan syarat jawatan berkenaan perlu diserahkan kepadanya sebaik saja beliau keluar dari penjara.
Namun, apa yang dirancang tidak berlaku, sebaliknya berlaku Langkah Sheraton membabitkan bekas pemimpin kanan KEADILAN sekaligus menggulingkan kerajaan HARAPAN.
“Sebab itu saya minta rakyat sokong saya kerana saya rasa, saya buat perubahan dan kebaikan, tapi kalau saya dendam, nak tendang orang, nak zalim pada orang, saya tidak setuju.
![]() |
Mahathir berulang kali nak jadi PM lagi |
Mengambil contoh pemenjaraan Najib Razak dalam kes SRC International, Anwar berkata, Ahli Parlimen Pekan itu tidak seharusnya menerima layanan sepertinya, dengan mengambil kira faktor kemanusiaan yang perlu ada pada setiap individu.
“Perlukah Najib dilayan sebegitu rupa? Tidak. Saya tidak setuju. Tak payahlah letak atas simen, bagilah katil. Sebab apa? Sebab kita kena ada tekad moral lebih baik, lebih tinggi.” katanya.
0 Comments