Umno tendang Bersatu di Melaka


BERSATU ditendang keluar dari gabungan parti politik yang mahu membentuk kerajaan di Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusof dilapor media sebagai telah membatalkan kerjasama dengan 2 Adun Bersatu di negeri itu, iaitu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas).

Ab Rauf berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan kedua-dua Adun berkenaan mengetepikan peranan 13 Adun BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Selaku pengerusi BN Melaka, saya mengambil keputusan sebulat suara bersama 13 Adun kita dan 2 lagi Adun yang bersama dengan kita, untuk menarik kerjasama dengan Rafiq dan Effandi.

“Saya mengesahkan, 13 Adun BN bersama dengan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee membentuk satu gabungan baru,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, terdapat desas desus pergeseran diantara Umno dan Bersatu di negeri itu berhubung jawatan Ketua Menteri. 

Perkembangan ini menyaksikan gabungan baru itu memiliki majoriti 15 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri membabitkan 13 kerusi BN dan masing-masing 1 dari PKR dan DAP yang menyokong mereka.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 10 kerusi dan PPBM 2 kerus di DUN Melaka.

Sehingga kini, Kedah menjadi negeri yang terus mengekalkan pentadbiran seperti sebelum kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ditumbangkan.

Walaupun Bersatu bertindak keluar dari HARAPAN, namun Menteri Besar, Datuk Seri Mukriz Mahathir memutuskan untuk meneruskan pentadbiran sedia ada demi kepentingan dan amanah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.