Adun Bersatu kekal sokong K'jaan HARAPAN di Selangor


KEPIMPINAN Muhyiddin Yassin sebagai presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diuji lagi apabila empat Adun parti itu di negeri Selangor mengumumkan kekal penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Empat Adun terdiri dari Adun Kuang, Sallehuddin Amiruddin; Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli; dan Adun Batang Kali, Harumaini Omar serta Adhif Syan Abdullah (Dengkil)membuat pendirian itu dalam satu sidang media petang tadi.

Jelas mereka pendirian tersebut dibuat susulan rundingan dan pertemuan diadakan bersama bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Pengumuman petang tadi dibuat hanya beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengumumkan kesemua lima Adun Bersatu dan dua bekas Adun PKR dikeluarkan daripada kerajaan Selangor susulan pembentukan kerajaan Muhyiddin di peringkat pusat.

“Terpulang pada pihak kepimpinan HARAPAN Selangor untuk menilai kesetiaan atau kebersamaan kami bersama kerajaan negeri,” kata Mohd Shaid dalam sidang media berkenaan.

Sementara itu Sallehuddin berkata, mereka mungkin akan bertemu Amirudin esok bagi membincangkan kedudukan mereka serta kaedah yang boleh diambil untuk bersama kerajaan negeri.

Untuk rekod, Bersatu memenangi lima kerusi di DUN Selangor pada Pilihan raya Umum lalu. Satu lagi kerusi mereka ialah Selat Kelang yang dimenangi Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari.

Ditanya mengenai kedudukan Abdul Rashid, Harumaini menjelaskan Adun terbabit tidak dapat dihubungi.

Malah, kata mereka, sepanjang kemelut dalam Bersatu berlaku, mereka tidak pernah dihubungi, dipanggil berbincang, atau bertukar-tukar pandangan dengan Abdul Rashid.

Post a Comment

0 Comments