PENANGGUHAN sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 9 Mac ini kepada 18 Mei jelas membuktikan ketidakyakinan blok kerajaan Muhyiddin dalam berdepan isu keyakinan ahli-ahli dewan.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, apa yang berlaku jelas kelihatan blok kerajaan sedang cuba mengelak berlakunya usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
"Jika mereka yakin, sudah tentu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini akan diteruskan seperti biasa.
"Saya anggap ini hanya memberikan satu kemenangan moral kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana terbukti Perdana Menteri tidak yakin akan sokongan sehingga terpaksa melewatkan sidang Dewan Rakyat," katanya dipetik satu laporan oleh portal Sinar.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan penangguhan sidang Dewan Rakyat ke tarikh baharu selepas pihaknya menerima surat pemakluman daripada Pejabat Perdana Menteri.
Menurutnya, surat ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 ditunda kepada 18 Mei.
Berdasarkan jadual asal, ia sepatutnya diadakan pada Isnin depan.
"Sama ada sidang Dewan Rakyat dibuat pada 9 Mac ke, pada 18 Mei atau paling lewat saya difahamkan boleh sampai kepada 5 Jun, saya percaya kami dalam blok pembangkang sentiasa bersedia.
"Kami yakin mempunyai majoriti untuk menyatakan ketidakyakinan terhadap Perdana Menteri kini," tegasnya.